Kakitangan awam, e-hailing diberi RM500
KAKITANGAN awam dihargai atas peranan besar mereka terutama ketika wabak Covid-19. Gambar hiasan

Kakitangan awam, e-hailing diberi RM500

PUTRAJAYA – Seramai kira-kira 1.5 juta kakitangan awam gred 56 dan ke bawah termasuk staf kontrak akan menerima bantuan tunai sebanyak RM500 secara one-off.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan yang sama turut diberikan kepada lebih 850,000 pesara kerajaan dengan pembayaran dilakukan pada April ini.

“Kerajaan tidak lupa menjaga kebajikan semua penjawat awam yang terus setia menjalankan amanah kepada negara.

“Sumbangan pesara Kerajaan juga tidak dilupakan,” katanya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) di sini hari ini.

Dalam pada itu, menyedari pendapatan harian pemandu e-hailing sepenuh masa
turut terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, kerajaan akan memberikan bantuan one-off RM500 bagi meringankan beban mereka.

Perdana Menteri berkata, bantuan kepada kira-kira 12,000 pemandu e-hailing akan memakan kos sebanyak RM60 juta.

Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan pemandu teksi akan menerima bayaran one-off sebanyak RM600 mulai 1 April 2020.

“Bagi memastikan kebajikan pekerja kontrak perkhidmatan seperti pembersihan dan bekalan makanan bermasak di sekolah, IPTA, institusi latihan awam serta agensi-agensi lain kerajaan termasuk badan berkanun, kerajaan bersetuju untuk membayar gaji yang ditanggung kontraktor terlibat sepanjang tempoh Perintah Kawalan
Pergerakan walaupun pekerja tidak hadir bekerja,” katanya.

Kata Muhyidddin, lebih 80,000 pekerja akan menerima manfaat daripada inisiatif ini yang melibatkan peruntukan berjumlah RM110 juta.

Selain itu, katanya, kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan tempoh kontrak perkhidmatan yang berkenaan selama sebulan sebagai trade-off dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. – WILAYAHKU

CATEGORIES