Berita

Kadar tol enam lebuh raya di Lembah Klang diturunkan

- Diterbit 13 Oktober 2022 7:49 AM MYT

KERAJAAN bersetuju menurunkan kadar tol bagi enam lebuh raya di Lembah Klang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Bagi menunjukkan keprihatinan terhadap masalah yang dihadapi rakyat akibat kenaikan kos sara hidup, kerajaan juga bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi di bawah Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan mengurangkan tol. .

“Lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Penyuraian Kajang (SILK) yang akan berkuat kuasa pada 12.01 pagi 20 Okt ini ,” katanya ketika merasmikan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) pada Khamis.

Hadir sama Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof

Perdana Menteri berkata langkah penstrukturan itu akan menyaksikan kerajaan menjimatkan sebanyak RM8.8 bilion pampasan yang sepatutnya dibayar kepada konsesi syarikat terbabit.

Ismail Sabri berkata tol bagi Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) di bawah IJM Corporation Bhd akan dikurangkan pada 1 Jan 2023.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata lebuh raya DASH merupakan laluan alternatif pengguna jalan raya dari Shah Alam dari arah barat ke Kuala Lumpur dari arah timur.

“Ia akan mengurangkan kesesakan lalu lintas, masa perjalanan dan aliran trafik dengan lebih berkesan di kawasan antara dua bandar itu.

“Ia dijangka membantu melancarkan lalu lintas di sepanjang Persiaran Mokhtar Dahari, Jalan Sungai Buloh dan Persiaran Surian sebanyak 40 peratus yang menjimatkan sehingga 30 minit berbanding satu setengah jam pada waktu puncak,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas