Berita

PU Azman hadapi lima tuduhan lakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki

- Diterbit 12 Oktober 2022 12:24 PM MYT

Seorang pendakwah selebriti dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual ke atas dua remaja lelaki bawah umur.

Azman Syah Alias, 41, atau lebih dikenali sebagai PU Azman mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, di dalam tandas dan ruang tamu sebuah rumah di taman perumahan dekat Labu, Nilai antara pukul 3 hingga 5 pagi pada 6 Julai lepas.

Tertuduh juga menghadapi dua pertuduhan sama terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun 10 bulan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam bilik tidur antara jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam pada 5 Feb dan di ruang tamu rumah sama antara pukul 3 hingga 5 pagi, 6 Julai.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad dan Fahmi Adilah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dilarang daripada mendekati mangsa dan saksi sehingga kes selesai, selain melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 8 Dis.

— BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas