Berita

JWP, MSWP sumbang Bantuan MADANI kepada 83 badan sukan

ROSIDA (tengah) menyampaikan bantuan wang tunai kepada salah seorang wakil persatuan badan sukan Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini.
- Diterbit 8 Ogos 2023 10:45 AM MYT

JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) menerusi Majlis Sukan Wilavah Persekutuan (MSWP) menyampaikan Bantuan MADANI kepada 83 badan sukan Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi tahun 2023 berjumlah RM278,000.

Menurut Ketua Pengarah JWP, Datuk Seri Rosida Jaafar, bantuan yang dihulurkan pada setiap tahun itu diberikan kepada badan sukan yang berdaftar dan bergiat aktif di Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Labuan bagi membantu kelancaran operasi pengurusan persatuan sukan.

“Pada majlis hari ini juga, kita turut melancarkan Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan Wilayah Persekutuan yang bakal menjadi mekanisme kepada penilaian pencapaian badan sukan di Wilayah Persekutuan daripada aspek tadbir urus selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997.

“Selari dengan Pelan Strategik MSWP yang menekankan good governance atau tadbir urus badan sukan yang lebih efisien, inisiatif MSWP ini diharap dapat mendorong badan sukan supaya mengamalkan tadbir urus yang lebih efisien dan berkesan dalam membantu pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bantuan MADANI Kepada Badan Sukan Kuala Lumpur dan Putrajaya Bagi Tahun 2023 yang berlangsung di Dewan Serbaguna JWP.

Selain itu, menerusi Anugerah Penarafan Bintang itu nanti, Rosida berkata antara elemen yang akan dinilai adalah Dokumen Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) badan sukan, urus tadbir badan sukan, kewangan dan pencapaian badan sukan di peringkat Kebangsaan atau lebih tinggi.

Dalam masa sama, menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos 2024 di Sarawak, beliau turut mengingatkan persatuan sukan di Wilayah Persekutuan untuk kembali bangkit mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

Sebagai rekod, kontinjen Wilayah Persekutuan menduduki tempat ketiga keseluruhan pada SUKMA lalu. – WILAYAHKU

ROSIDA (tengah) ketika gimik pelancaran Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan Wilayah Persekutuan.
WAKIL badan-badan persatuan sukan Putrajaya dan Kuala Lumpur bergambar kenangan.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas