Berita

Negara anggota ASEAN dijangkakan berkembang kukuh dalam harungi cabaran geopolitik global

- Diterbit 8 Ogos 2023 9:45 AM MYT

NEGARA anggota ASEAN dijangkakan berkembang lebih kukuh selari dengan kedudukan badan serantau ini yang menjadi semakin penting di tengah-tengah cabaran geopolitik global semasa, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata dalam mendepani pelbagai isu yang membimbangkan di rantau ini, ASEAN tetap teguh dalam komitmennya untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan.

“Kami berharap semua anggota (ASEAN) akan terus teguh untuk mengukuhkan asas kita.

“Seperti sekarang, semangat Hari ASEAN yang disambut pada 8 Ogos, ASEAN kekal kukuh dan menjadi antara persatuan serantau yang paling penting di dunia hari ini.

“Sebagai rantau yang dinamik, kita tidak boleh mengelak berbicara tentang masalah. Tetapi yang penting ialah semua anggota ASEAN kekal teguh untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau kita,” kata Zambry kepada pemberita selepas sambutan Hari ASEAN ke-56 yang diadakan dengan kerjasama Sejahtera Centre untuk Kelestarian dan Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada Selasa.

Sambutan itu turut dihadiri bekas setiausaha agung ASEAN Tan Sri Ajit Singh dan wakil dari Misi Diplomatik negara anggota ASEAN dan rakan kongsi.

Dalam ucapannya, Zambry menekankan bahawa Malaysia telah mengenal pasti pertumbuhan hijau sebagai strategi untuk melaksanakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu serta menangani perubahan iklim dan cabaran alam sekitar bagi menyokong keamanan, keselamatan, kemakmuran dan pembangunan mampan global terutama dalam aspek ekonomi.

“Dalam konteks ini, kita mesti memastikan naratif pertumbuhan kita merangkumi prinsip kemampanan, keterangkuman dan kemakmuran bersama.

“Pertumbuhan kita seharusnya bukan sahaja menjadi kisah kejayaan ekonomi, bahkan (merangkumi) pemuliharaan budaya, perlindungan alam sekitar dan keadilan sosial,” kata Zambry.

Bertemakan “Promoting Regional Sustainable Growth”, sambutan Hari ASEAN memberi peluang kepada UIAM untuk mempamerkan usaha Sejahtera Centre dalam menginsankan pendidikan melalui SDG.

ASEAN bermula sebagai Persatuan Asia Tenggara (ASA) pada 31 Julai, 1967 yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu (sebelum Malaysia), Thailand dan Filipina, dan keahliannya diperluaskan ke negara lain di rantau ini, disusuli penubuhan ASEAN pada 8 Ogos, 1967, di Bangkok yang dianggotai Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.

Brunei menyertai pada 8 Jan 1984, Vietnam (28 Julai 1995), Laos dan Myanmar (23 Julai 1997) dan Kemboja (30 April 1999). – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas