Lensa

Jurutera bongkah kecil berjiwa besar

- Diterbit 29 Disember 2023 3:00 PM MYT

SEAWAL usia dua tahun, pencipta kandungan popular Ezrin Nazan atau lebih dikenali dengan panggilan CEO of LEGO didedahkan dengan permainan Lego apabila menerima bongkah kecil tersebut sebagai hadiah hari lahir oleh kedua orang ibu bapanya.

Bermula daripada situ, minat tersebut berkembang sehingga dia mampu membuka perniagaan berasaskan Lego, The Bricks Nation yang terletak di Jalan Dataran Cheras 9 dan The Starling Mall, Petaling Jaya.

Sehingga kini, nilai keseluruhan model lego yang dimilikinya mencecah RM600,000 dan dalam masa yang sama, dia merupakan satu-satunya pemilik figura mini Lego Gladiator di Malaysia di mana koleksi untuk pasaran Rome, Italy pada tahun 2020 itu hanya mempunyai 3,000 unit sahaja di dunia.

Menurut Ezrin, set lego pertama hasil titik peluhnya sendiri adalah siri animasi The Simpsons berharga RM900 yang dibeli sewaktu bekerja sebagai office boy ketika berusia 22 tahun.

“Ketika itu, gaji saya hanya RM1,500 namun ia merupakan satu kepuasan apabila dapat memiliki animasi yang terlalu diminati. Bagi saya hobi ini boleh dijadikan pelaburan. Buktinya, set The Simpsons yang dibeli pada harga RM900, kini boleh dijual dengan harga RM2,500.

“Kemudian apabila saya bergelar pereka hiasan dalaman dan juga jurutera, saya tertarik dengan siri Modular Buildings iaitu Lego berasaskan model-model bangunan serta hiasan rumah kerana ia berkait rapat dengan kerjaya saya,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Ezrin berkata masa terluangnya dimanfaatkan dengan membuat kajian mengenai rekaan lego yang bakal dilancarkan selain merancang perbelanjaan bagi pembelian lego kerana setiap bulan model terbaharu dikeluarkan.

“Tidak semua model akan dibeli kerana saya akan membeli mengikut kemampuan dan minat. Sejak tahun 2010 sehingga kini, dianggarkan lebih RM200,000 telah dibelanjakan untuk membeli 300 set lego dengan nilai keseluruhan modal mencecah RM600,000,” ujar pengumpul tegar ini yang menjual pelbagai model terbaharu Lego bermula harga mampu milik.

Berkongsi tentang kategori lego yang berada di pasaran iaitu bayi, kanak-kanak, remaja serta dewasa, penerima Top Creative Creator Award ini berkata, set lego untuk bayi ialah Lego Duplo.

“Bagi kanak-kanak dan remaja pula ialah Lego Classic, Lego Creator 3 in 1, Lego City, Lego Technic dan Lego Friends sementara dewasa pula Lego Icons, Lego Ideas, Lego Creator dan sebagainya yang didatangkan dalam lingkungan umur lapan tahun serta 16 tahun ke atas,” ujarnya yang pernah menjadi juri Legoland School Challenge dan First Lego League Malaysia.

Ditanya tentang masa yang diambil untuk menyiapkan sesebuah set lego, Ezrin berkata ia bergantung kepada jenis dan saiz Lego tersebut. Jika bersaiz kecil, kebiasaannya dalam lingkungan satu hingga satu setengah jam, sementara bagi saiz sederhana, dua hingga ke tiga jam manakala saiz besar pula mampu mencecah lapan sehingga 12 jam.

“Set paling sukar yang pernah dipasang ialah set Lego Technic Ferrari Daytona SP3 yang melibatkan 3,778 kepingan lego, masa paling lama yang pernah diambil untuk menyiapkan set lego Technic ialah tiga hari namun set tersebut memerlukan lebih lima hari untuk disiapkan,” ujarnya berhasrat membuka muzium mini bagi memberi peluang mereka yang tidak berkemampuan untuk melihat dengan lebih dekat pelbagai jenis lego yang unik dan menarik. – WILAYAHKU

Laporan oleh SYUQQREE DAIN, Video oleh HASIF HALIMI

Koleksi foto:

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas