Berita

Jumlah kemasukan kes COVID-19 ke ICU meningkat 94 peratus di Lembah Klang – KP Kesihatan

(Gambar Hiasan) PERTAMBAHAN kemasukan kes COVID-19 ke ICU meningkat 94 peratus berbanding dua minggu lalu. (Gambar Hiasan) PERTAMBAHAN kemasukan kes COVID-19 ke ICU meningkat 94 peratus berbanding dua minggu lalu.
- Diterbit 19 Mei 2021 12:27 PM MYT

JUMLAH kemasukan kes COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk kes yang disyaki atau kemungkinan dijangkiti di Lembah Klang telah meningkat sebanyak 94 peratus berbanding dua minggu lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam catatan di laman Facebooknya, Dr Noor Hisham berkata situasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini amat teruk dengan 79 peratus katil ICU di hospital COVID-19 di negeri berkenaan telah digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

“Hospital COVID-19 telah meningkatkan jumlah katil ICU yang diperuntukkan untuk pesakit COVID-19, melalui pengubahan semula wad biasa. Bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan COVID untuk mendapatkan rawatan kritikal yang betul.

“Sistem penjagaan kesihatan di Lembah Klang berada kini berada dalam tekanan yang luar biasa. Petugas barisan hadapan sudah lesu dan kepenatan. Tolonglah kami agar kami masih dapat menolong anda apabila bila tiba masa dan waktunya,” katanya.

Beliau juga menggesa orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kekal berada di rumah jika tiada urusan penting di luar.

Malaysia hari ini merekodkan jumlah kes COVID-19 harian tertinggi iaitu 6,075 kes.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan media turut memaklumkan daripada jumlah kes baharu itu, tiga adalah kes import manakala 6,072 melibatkan penularan dalam negara.

“Kes import melibatkan seorang warganegara dan dua bukan warganegara manakala kes tempatan pula membabitkan 5,452 warganegara dan 620 bukan warganegara,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 3,516 kes sembuh dicatat menjadikan jumlah kumulatifnya 436,116 kes manakala kes aktif kini 47,340.

Katanya berkata jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 2,040 susulan 46 kes baharu yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas manakala sebanyak 559 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 303 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kluster baharu harian turut mencatat bilangan tertinggi iaitu 22 kluster dengan lapan membabitkan penularan di tempat kerja, tujuh melibatkan komuniti, enam berkaitan keagamaan dan satu di institusi pendidikan

Kluster baharu tempat kerja yang direkodkan ialah Industri Bukit Raja (Selangor), Jalan 223 PJ (Selangor), Jalan Endap Sawit (Sarawak), Jalan Tanjung Kupang (Johor), Jalan Tuan Hitam (Terengganu), Paya Rumput Utama (Melaka), Victorial Merdeka (Labuan) dan Jalan Kampung Bakau (Perlis) manakala kluster institusi pendidikan ialah Jalan Senduduk Satu (Johor).

Kluster komuniti pula ialah Stunggang (Sarawak), Kampung Tanjong Jejulok (Kelantan), Kampung Limau (Kuala Lumpur), Pagar Sungai Imam (Sabah), Muhibbah Dua (Sabah), Kolopis (Sabah) dan Jalan Inang (Melaka) manakala kluster keagamaan ialah Jalan Kenanga Pertama (Selangor), Jalan Pusara (Selangor), Jalan Timah Empat (Johor), Taman Sri Rampai (Kuala Lumpur), Kampung Keranji (Kelantan) dan Kampung Batu Tiga (Perak).

“Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster kini 1,942 dengan 516 kluster aktif,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan kluster yang ditamatkan sehingga semalam ialah 1,426. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas