Berita

Tiga kluster baharu COVID-19 direkod di Sabah

TIGA kluster baharu direkod di Sabah. Kredit Foto Oleh : Astro awani TIGA kluster baharu direkod di Sabah. Kredit Foto Oleh : Astro awani
- Diterbit 19 Mei 2021 12:55 PM MYT

SABAH merekod tiga lagi kluster COVID-19 yang menyumbang kepada sebahagian daripada 160 kes harian negeri hari ini, meningkat berbanding hanya 95 kes semalam, kata Menteri Kerajaan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata tiga kluster berkenaan ialah Kluster Kolopis di Penampang dengan 13 kes, Kluster Sungai Imam di Tawau (27) dan Kluster Muhibbah Dua di Lahad Datu (14).

“Punca Kluster Kolopis berkemungkinan besar disebabkan sebuah majlis ‘marriage blessing’ pada 28 April lepas. Setakat hari ini, 30 kontak rapat telah disaring dan proses mengenal pasti punca jangkitan masih giat dijalankan di lapangan.

“Kluster Pagar Sungai Imam pula berlaku ekoran aktiviti kunjung-mengunjung semasa sambutan Aidilfitri. Kes indeks adalah lelaki yang dikesan positif pada 15 Mei setelah mengalami gejala. Penyebaran jangkitan dipercayai melalui kucupan dan bersalaman,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Kluster Muhibbah Dua pula menurutnya mula dikesan pada 16 April lepas melalui saringan bergejala ke atas kes indeks iaitu seorang lelaki tempatan di sebuah klinik swasta.

“Hasil pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 22 ahli keluarga dan kontak rapat, 13 lagi kes disahkan positif. Berdasarkan rekod pergerakan, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika melakukan rentas daerah ke Tawau selama dua hari bermula 7 April lepas atas urusan peribadi.

“Selain itu, kes indeks turut menghadiri aktiviti berbuka puasa dan sambutan Aidilfitri di rumah mentua di Kampung Muhibbah bersama ahli keluarga yang lain. Semua 14 kes positif COVID-19 dalam kluster ini telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di pusat kuarantin,” katanya.

Masidi berkata daripada 160 kes positif  yang direkodkan hari ini, Tawau mencatatkan jumlah kes paling tinggi iaitu 54 kes diikuti Lahad Datu (29), Papar (16), Kota Kinabalu (16), Kuala Penyu (10), Semporna (8), Kunak (6) serta Putatan dan Kinabatangan masing-masing empat.

Selain itu Kalabakan, Penampang dan Sandakan masing-masing merekodkan tiga kes, Kota Belud (2) serta masing-masing satu kes di Keningau dan Beaufort. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas