Selebriti

Juara AJL37, vokal terbaik milik Aina Abdul

- Diterbit 12 Februari 2023 5:19 PM MYT

LAGU Terus Hidup nyanyian dan ciptaan sepenuhnya oleh Aina Abdul dinobatkan sebagai Juara Lagu ke-37 (AJL37) yang disiarkan secara langsung dari Axiata Arena Bukit Jalil, malam tadi.

Menerusi kemenangan itu, Aina membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100,000 beserta trofi.

Bukan itu sahaja, AJL37 turut menyaksikan buat kali kedua Aina Abdul memenangi kategori vokal terbaik menerusi lagu Terus Hidup. Kemenangan tersebut melayakkan Aina membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM12,000 beserta trofi.

Naib juara pula menjadi milik lagu Satu Malam Di Temasek nyanyian Sonaone dan Joe Flizzow yang dicipta sepenuhnya oleh kedua-dua penyanyi itu. Ini melayakkan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi.

Manakala tempat ketiga pula dimenangi lagu Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 beserta trofi.

Dalam masa yang sama, Shiha Zikit juga menepati ramalan ramai apabila memenangi kategori persembahan terbaik hasil daripada undian penonton. Shiha membawa pulang Wang tunai berjumlah RM 12,000.

Untuk edisi AJL37, penaja utama Alha Alfa Cosmetic turut berbesar hati apabila meraikan Penyanyi Pilihan Alha Alfa yang dimenangi oleh Khai Bahar.

Kemenangan tersebut melayakkan Khai yang membawakan lagu Sengsara membawa pulang wang tunai RM12,000.

AJL37 yang disiarkan secara langsung di TV3 pada pukul 9 malam itu menyaksikan Sherry Alhadad dan Jihan Muse sebagai pengacara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas