Biz

Jual jus halia bantu tambah pendapatan

OH Juice Jer terjual lebih 1,000 botol ketika diperkenalkan Januari lalu
- Diterbit 15 Mac 2024 10:25 AM MYT

BERDEPAN ekonomi yang semakin mencabar kini, ramai yang terpaksa melakukan dua pekerjaan dalam satu masa memandangkan gaji sedia ada tidak cukup untuk menampung kehidupan seharian.

Mengakui perkara itu, Eksekutif Pemasaran Digital, Norel Hashim, 31, memilih untuk menjalankan perniagaan minuman kesihatan Oh Juice Jer secara dalam talian sejak tahun lalu.

Produk minuman berasaskan halia buatannya itu dihasilkan bertitik-tolak daripada masalah angin dalam badan yang sering dihadapinya sehingga menimbulkan rasa kurang selesa.

“Ramai yang mencadangkan untuk saya minum air halia dan ternyata ia berkesan. Jadi, daripada situ muncul idea untuk membantu orang lain yang berdepan masalah serupa.

“Khasiat halia sememangnya banyak, bukan sahaja membantu mengeluarkan angin bahkan sifat anti-radangnya juga mampu mengurangkan kemerahan dan parut jerawat selain melancarkan haid dan sebagainya memandangkan ia merupakan sayuran berakar yang memiliki manfaat kesihatan dan sifat perubatan,” ujarnya.

Malah dia tidak menyangka Oh Juice Jer yang turut dihasilkan bersama bahan-bahan lain seperti oren, lemon, kunyit hidup dan lada hitam mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

“Alhamdulillah, setakat ini saya mendapat banyak respon positif daripada orang ramai dan dalam tempoh sebulan sejak ia diperkenalkan pada awal Januari lalu, lebih 1,000 botol telah berjaya terjual dan terus mendapat permintaan,” katanya.

Ditanya tentang cabaran yang diterima sepanjang mengusahakan jus tersebut, Norel tidak menafikan pada permulaannya agak sukar untuk mendapatkan kepercayaan orang ramai.

“Mungkin ketika itu ia merupakan produk baharu. Cabaran utama yang saya hadapi adalah untuk memberi keyakinan kepada orang tentang khasiat air ini sebab tidak ramai yang minum air halia.

“Mereka yang pernah minum jus halia, tiada masalah tetapi bagi yang tidak biasa, mereka susah nak cuba. Jadi, apa yang saya buat, saya beri tester kepada kawan-kawan terdekat untuk yakinkan mereka dengan khasiat air ini,” ujarnya harga sebotol Oh Juice Jer adalah RM4 (30ml).

Bagi yang ingin mendapatkan Ohh Juice Jerr, boleh hubungi 011-2094 0616 (Norel) atau laman Instagram @ohjuicejer. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas