Biz

20,000 beg roti john terjual pada Ramadan

IWANI Frozen Food berpengalaman membekalkan roti john hampir 30 tahun
- Diterbit 15 Mac 2024 10:20 AM MYT

SETIAP kali tibanya bulan Ramadan, roti john merupakan antara juadah popular yang sering menjadi pilihan. Memandangkan permintaan yang tinggi, maka bulan puasa juga memberi cabaran besar buat pembekal roti tersebut.

Berkongsi pengalaman, Pengurus Iwani Frozen Food, Mohamad Ikhsan Mohamad Fauzi, 33, berkata dia perlu menyediakan bekalan roti john dalam kuantiti yang banyak kepada pengusaha makanan setiap kalinya tiba bulan tersebut.

“Bulan ini kami sudah menyediakan bekalan roti lebih awal sebanyak 5,000 beg. Biasanya saban tahun, kebiasaannya kita akan bekalkan sebanyak 1,000 bag sehari untuk para peniaga.

“Seorang pelanggan biasanya akan mengambil 10 pek roti john. Kalau dulu roti ini boleh didapati dalam saiz panjang dan pendek tetapi kini kita standardkan saiz tersebut dengan harga jualan RM9 hingga RM10,” katanya.

Tambahnya, dia perlu membuat persediaan lebih awal memandangkan peniaga akan mengambil stok seawal tiga hingga empat hari sebelum bazar Ramadan beroperasi.

“Kebiasaannya situasi getir dalam dua minggu pertama di mana peniaga akan berpusu-pusu membeli dan mencari bekalan roti john dan minggu kedua terakhir Ramadan pula keadaan kembali normal,” ujarnya.

Syarikat yang beroperasi hampir 30 tahun di Taman Permata, Kuala Lumpur ini, tidak menang tangan kerana menjadi pilihan warga peniaga sekitarnya sepanjang tahun.

“Permintaan yang tinggi terhadap roti tersebut memandangkan ia menjadi pilihan utama pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.  Ia bukan lagi makanan bermusim sebaliknya menjadi menu harian yang boleh didapati di mana sahaja,” ujarnya.

Bercerita lanjut tentang produk yang dikeluarkan syarikatnya, Mohamad Ikhsan berkata, kualiti roti yag ditawarkan tahan lama bergantung pada cara penyimpanan oleh peniaga.

“Maklum balas daripada pelanggan rata-ratanya suka dengan produk kami disebabkan kualiti. Tidak dinafikan juga, mereka perlu arif cara untuk menyimpan bagi memastikan ia tahan sehingga beberapa hari,” ujarnya.

Memandang jauh ke hadapan, dia yang mewarisi perniagaan tersebut daripada bapanya mengakui berhasrat untuk membesarkan ruang penyimpanan stok roti yang ada pada masa ini.

“Apa yang kita hadapi adalah dari segi kekangan ruang di kedai di mana kami tidak mempunyai ruang luas dan besar. Buat masa kini, kami mempunyai stor dua tingkat tetapi masih tidak cukup ruang.

“Selain itu, saya berhasrat untuk menambah cawangan di masa terdekat bagi memastikan Iwani Frozen Food terus relevan untuk bersaing dalam perniagaan ini,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas