Selebriti

Bukan mudah istiqamah

- Diterbit 15 Mac 2024 3:05 PM MYT

PELAKON Sherry Ibrahim mengaku dirinya masih dalam proses untuk istiqamah dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah.

Menurut Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 41, banyak perkara yang dipelajarinya selepas mengerjakan umrah pada penghujung tahun lalu.

“Nak kekal istiqamah ini bukan mudah. Jujurnya sejak balik dari umrah, dua bulan saya rehat. Tidak buat apa-apa job. Ini kerana saya jadi keliru. Iyalah kali pertama pergi umrah. Jadi pengalaman di Makkah dan Madinah itu sangat istimewa.

“Saya berehat dua bulan itu adalah tempoh untuk saya seimbangkan diri saya dengan bidang hiburan. Terutamanya bila sampai waktu solat, saya nak kena solat. Tiada alasan untuk tidak melakukannya.

“Alhamdulillah ketika tunaikan solat di surau, saya ada bertemu beberapa artis. Saya ada bertanya kepada mereka macam mana nak berhadapan situasi sebegini.

“Saya tak boleh dengar muzik. Kalau orang minta saya buat sesuatu yang biasa saya buat, saya jadi malu. Alhamdulillah, sekarang dah okey,” kongsinya.

Sherry juga berharap masyarakat di luar sana tidak mudah menghukum para selebriti yang sedang berusaha istiqamah untuk menjadi lebih baik. Ini termasuklah isu artis wanita buka tudung kerana mendakwa tiada rezeki dalam lakonan.

“Bercakap pasal istiqamah, ia kena lahir daripada hati. Buat kerana Allah. Bukan untuk tunjuk kepada orang lain yang kita ini berubah atau buat baik. Kita tahu perkara itu adalah wajib buat, tidak ada alasan, kena lakukan. Kalau cakap buka tudung, rezeki lagi murah. Saya tak percayakan itu,” ujarnya.

Tambah Sherry, sejak mengenakan hijab, dia sudah menetapkan babak lakonan tidak boleh bersentuh.

“Ada pernah, babak kena culik, tapi ia berlapik. Tentang solat pula, walaupun shooting, saya tetap cari masa untuk solat. Itu tanggungjawab kita kepada Allah. Tidak ada alasan untuk tidak laksanakannya,” ujarnya.

Ketika menunaikan ibadah umrah hujung tahun lalu, Sherry memberitahu dia tidak lupa untuk mendoakan soal jodoh lebih-lebih lagi setiap kali menziarahi tempat-tempat yang dikatakan mustajab untuk berdoa.

“Bukan tak nak kahwin, tetapi tidak berkahwin juga bukan satu dosa kerana Allah SWT mahu jadikan kita yang terbaik. Apa-apa pun, saya berserah pada Allah. Mungkin ada hikmah saya belum bertemu jodoh sehingga hari ini.

“Saya kena perbaiki diri sendiri dahulu dan jaga ibu bapa. Kita kena tengok juga daripada sudut positif.

“Kalau orang bertanya (tentang jodoh), memang saya terasa juga. Sebab siapa yang tidak mahu berkahwin? Percintaan saya sebelum ini semuanya tidak menjadi, belum sampai waktu. Nak buat macam mana?” katanya lagi yang sibuk dengan beberapa kerja amal sepanjang Ramadan ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas