Berita

Jemaah menteri setuju wujudkan SPV bina janakuasa elektrik di Labuan

Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 19 Mac 2024 1:11 PM MYT

JEMAAH Menteri bersetuju untuk memberi kelulusan secara prinsip terhadap penubuhan sebuah syarikat berkeperluan khas (SPV) untuk pelaksanaan pembinaan stesen janakuasa elektrik bagi mengatasi masalah bekalan elektrik di Labuan.

Projek berkenaan akan dilaksankana oleh Syarikat Petroliam Negara (PETRONAS) seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada Disember tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kelulusan itu diperolehi menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 Januari 2024 dan penubuhan SPV yang dibentuk itu melibatkan tiga buah syarikat.

“Organisasi yang terlibat adalah PETRONAS melalui anak syarikatnya iaitu PETRONAS Gas Berhad (PGB); syarikat Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) melalui anak syarikatnya iaitu Elopura Power Sdn. Bhd. (Elopura) dan syarikat Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan yang dikemukakan oleh Senator Tan Sri Anifah Aman yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan pada sidang Dewan Negara baru-baru ini.

Fadilah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kementeriannya juga telah mengeluarkan Surat Niat (Letter of Intent) kepada SPV pada 6 Februari 2024 bagi membolehkan rundingan terma-terma teknikal dan komersial antara SPV dan Suruhanjaya Tenaga (ST) dapat dilaksanakan.

“Selanjutnya, ST juga telah mengambil tindakan sewajarnya bagi mengadakan rundingan terma-terma tersebut dengan pihak SPV untuk memastikan Kerajaan mendapat nilai terbaik bagi pembangunan projek ini,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan akan terus komited bagi memastikan pembekalan elektrik di Labuan terus terjamin dan stabil serta memastikan pengoperasian projek disegerakan menjelang tahun 2028. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas