Berita

JAWI lancar Akademi Al-Quran, lahirkan lebih ramai qari, qariah berkualiti

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 27 Mac 2024 11:00 PM MYT

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini melancarkan Akademi Al-Quran Wilayah Persekutuan (AQWA), yang bertujuan melahirkan lebih ramai qari dan qariah berkualiti pada masa hadapan.

Pelancaran AQWA disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Syed Kamarulzaman Syed Kabeer yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mohktar.

Mohd Na’im dalam teks ucapannya yang dibacakan Syed Kamarulzaman berkata akademi tersebut adalah bagi mencungkil bakat baharu dalam Majlis Tilawah al-Quran, khususnya di Wilayah Persekutuan.

“AQWA beroperasi sepenuhnya di Masjid Wilayah Persekutuan dan menganjurkan kelas pengajian pada hari Sabtu setiap minggu dalam tempoh sembilan jam,” katanya.

Mohd Na’im berkata seramai 31 orang qari dan qariah dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, telah dipilih menyertai AQWA bagi kumpulan pertama, manakala tujuh tenaga pengajar telah dilantik dalam kalangan pensyarah dalam bidang taranum, serta mantan johan qari dan qariah peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk bertugas di akademi itu.

“Kaedah pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan untuk melatih para peserta dalam aspek tajwid, fasahah, taranum dan suara,” katanya.

Pada majlis tersebut turut diadakan program sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan, yang dihadiri 300 orang peserta yang terdiri daripada pelajar universiti awam dan swasta, institusi tahfiz sekitar Kuala Lumpur, masyarakat awam dan wakil agensi kerajaan dan swasta.

Sementara itu Pengarah JAWI Datuk Haji Mohd Ajib Ismail berkata sambutan Nuzul al-Quran itu bertujuan menggalakkan umat Islam menghayati inti pati al-Quran dalam kehidupan, selain menyahut saranan ajaran Islam yang menganjurkan amalan perpaduan, keharmonian dan toleransi dalam membangun masyarakat MADANI.

Pada majlis itu, Qari Kebangsaan dan Antarabangsa Ustaz Abdul Khair Jalil, memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran disusuli dengan sesi Tadabur al-Quran yang disampaikan oleh Imam Besar Masjid Negara Ustaz Ehsan Mohd Hosni. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas