Berita

JAWI anjur program Wilayah Persekutuan Bermunajat

- Diterbit 19 Januari 2021 12:48 AM MYT

LONJAKAN kes positif COVID-19 mutakhir ini jelas mencetuskan kebimbangan sehingga kerajaan terpaksa menguatkuasakan Proklamasi Darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang berjalan serentak bagi menyekat penularan wabak tersebut.

Pelbagai inisiatif yang dijalankan termasuklah penekanan secara khusus mengenai pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertujuan untuk melandaikan jumlah jangkitan virus tersebut yang kini amat membimbangkan.

Justeru itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tampil dengan inisiatif menganjurkan program Wilayah Persekutuan Bermunajat bagi memohon pertolongan Allah S.W.T dari musibah pandemik COVID-19 dan kesejahteraan ummah dan negara.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum dengan situasi semasa yang melanda negara susulan peningkatan kes dan angka kematian akibat wabak tersebut
serta penguatkuasaan PKP di Wilayah Persekutuan.

“JAWI menganjurkan “Program Wilayah Persekutuan Bermunajat” yang bertujuan untuk menyeru seluruh masyarakat muslim di Wilayah Persekutuan untuk bermunajat dan berdoa kepada Allah agar penularan wabak COVID-19 ini dapat segera dibendung dan dibasmi.

“Ia juga dilaksakan agar Malaysia serta seluruh Wilayah Persekutuan mendapat rahmat dan perlindungan Allah S.W.T serta dibebaskan dari wabak COVID-19,” katanya dalam satu surat arahan kepada Pengerusi Masjid dan Surau seluruh Wilayah Persekutuan pada Sabtu.

Menurut Mohd Ajib, semua pengurusan masjid dan surau disaran untuk melaksanakan program ini di masjid
dan surau di bawah seliaan masing-masing.

“Program munajat ini akan berlangsung setiap hari sepanjang PKP berkuatkuasa selepas solat fardhu Maghrib dan pengisian yang disarankan adalah solat hajat, zikir dan doa munajat serta selepas solat fardhu Jumaat dengan pengisian yang sama,” katanya.

Beliau berkata, untuk memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, pihak pengurusan masjid dan surau dikehendaki mengikut kaedah pelaksanaan yang telah ditetapkan oleh pihak JAWI.

“Pengurusan masjid dan surau perlu menetapkan imam bertugas dan memilih imam terbaik di peringkat
masjid, surau jumaat dan surau.

“Mereka juga harus memastikan imam bertugas membaca teks zikir dan doa munajat yang disediakan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan seperti yang disediakan.

“Dan mereka juga perlu memastikan pelaksanaannya dibuat serentak di seluruh masjid, surau Jumaat dan surau bermula selepas Solat Fardhu Maghrib 17 Januari lalu sehinggalah wabak pandemik ini berakhir,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Ajib turut menyarankan kepada seluruh umat Islam, khususnya warga Wilayah Persekutuan untuk turut serta menjalankan program tersebut di rumah masing-masing.

“Dalam keadaan musibah ini, setiap umat Islam perlu berganding bahu dan berdoa kepada Allah agar wabak ini dapat dihapuskan.

“Ia juga sebagai satu usaha dan solidariti untuk seluruh rakyat Malaysia yang kini turut terjejas ekoran penularan wabak ini agar mereka diberi kekuatan dan dikurniakan kesabaran dalam menjalani ujian,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas