Berita

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen syor pegawai JIM dilengkapi ‘body cam’

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 27 Mac 2024 5:00 PM MYT

PEMAKAIAN kamera badan (body cam) pada anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) adalah antara perkara yang disyorkan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi institusi berhubung prosedur pengendalian notis penolakan masuk (NTL).

Pengerusi jawatankuasa itu William Leong Jee Keen berkata antara syor lain yang dicadangkan ialah prosedur imigresen yang lebih fleksibel dengan keadaan semasa.

Selain itu, turut disyorkan supaya syarikat penerbangan harus mengendalikan prosedur notis NTL tanpa melibatkan pihak ketiga kerana ia tidak selari dengan amalan antarabangsa dan undang-undang sedia ada selain menyukarkan pemantauan oleh agensi kerajaan dan memungkinkan timbulnya rasuah.

“Jawatankuasa ini telah membentangkan Penyata Isu berkaitan Undang-undang Imigran Larangan dan Prosedur Pengendalian NTL dalam sidang Dewan Rakyat kali ini. Penyata ini merupakan penyata kedua yang dikemukakan oleh Jawatankuasa ini.

“Berdasarkan penyata dibentangkan, Jawatankuasa ini telah memberikan syor-syor bagi penambahbaikan terhadap undang-undang antaranya Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan penambahbaikan dari segi pentadbiran melibatkan tatacara pengendalian piawai (SOP) notis NTL,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Menurutnya, jawatankuasa itu turut mengesyorkan supaya SOP serta syarat-syarat kemasukan perlu diperjelas oleh JIM sebelum pelancong memasuki Malaysia dan maklumat ini perlu disalurkan kepada seluruh agensi pelancongan.

“Tatacara pengendalian piawai prosedur notis NTL ini juga perlu dilihat bersama kerana melibatkan beberapa kementerian dan agensi seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airports Holdings Berhad,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas