Berita

Henti mainkan isu 3R – Polis

KREDIT foto: Facebook PDRM.
- Diterbit 27 Mac 2024 5:35 PM MYT

SEMUA pihak perlu berhenti memainkan isu-isu yang berkaitan dengan 3R (agama, kaum dan raja), yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan rakyat, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

“Saya nak ambil peluang nasihati semua (agar) stand down. Cukup cukuplah. Kami tidak mahu lihat satu lagi insiden (seperti pergaduhan) Kampung Medan. Ia hanya akan memburukkan imej negara,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Semalam bekas ketua pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menyarankan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh supaya bertenang dalam isu stoking tertera kalimah Allah kerana tindakan undang-undang sedang diambil.

Sementara itu Mohd Shuhaily berkata sehingga semalam 10 laporan polis dibuat berkaitan isu berkenaan.

“Kita sedia maklum bahawa dua individu telah dituduh (di mahkamah) semalam… dan yang lain-lain masih dalam siasatan kami,” katanya.

Beliau berkata polis juga telah membuka kertas siasatan berhubung ugutan membakar kilang yang membekalkan stoking berkenaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas