Berita

Jalan TAR ditutup setiap Ahad

- Diterbit 26 Ogos 2022 1:56 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dari persimpangan Jalan Esfahan ke persimpangan Jalan Melayu pada setiap Ahad.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata keputusan itu diambil bagi menjadikannya salah satu lokasi bebas kenderaan dan mewujudkan kawasan pejalan kaki di tengah pusat bandar sekali gus ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya rendah karbon.

“Penutupan akan dilaksanakan pada setiap hari Ahad dari pukul 6 pagi hingga 12 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut DBKL, sebagai langkah percubaan, penutupan jalan ini akan dimulakan pada 28 Ogos, Ahad ini dan akan dimeriahkan dengan pelbagai program.

“Pelbagai program pengisian turut dirancang untuk dilaksanakan sepanjang penutupan jalan tersebut termasuk persembahan muzik jalanan (buskers), persembahan seni kreatif, seni kraf tangan dan sukan tradisional seperti dam haji.

“Lokasi sekitar Jalan TAR juga akan dihiasi dengan hiasan perabot jalanan dan fasiliti serta ruang untuk pengunjung bersantai, berehat dan mengambil gambar,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pengunjung yang ingin ke lokasi Jalan TAR dan sekitarnya adalah dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas