Berita

JAKIM pandang serius isu penjualan stoking tertera kalimah Allah

- Diterbit 20 Mac 2024 6:03 AM MYT

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius terhadap isu penjualan sarung kaki (stokin) yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka kerana telah mengguris hati umat Islam.

Ketua Pengarahnya, Datin Paduka Hakimah Mohd Yusof berkata JAKIM juga telah memberi amaran keras setelah memanggil Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr KK Chai agar perkara ini tidak berulang.

“Amaran keras telah diberikan supaya perkara ini tidak berulang lagi. Pihak syarikat juga telah memberi penjelasan mengenainya dan langkah-langkah untuk mengelakkan isu seumpama ini berulang.

“Pihak KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. juga bersetuju untuk mengkaji dan mengemaskini semula prosedur operasi standard (SOP) syarikat,” katanya baru-baru ini.

Tambah beliau, JAKIM turut menyokong tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah membuka kertas siasatan terhadap isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

“JAKIM memberi peringatan kepada semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di negara ini.

“Dalam masa yang sama, semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu lama yang menyentuh aspek 3R (agama, raja, dan kaum) dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas