Berita

Jadi nelayan semasa restoran ditutup, Anjung Ketam kini dibuka semula

|ketam blackpepper|Ketam rebus stim|lobster buttermilk|ROKIAH
- Diterbit 11 Disember 2020 1:00 PM MYT

“DI SAAT pandemik COVID-19 melanda di seluruh negara khususnya di Labuan ini menyebabkan kami hilang punca pendapatan harian hampir tiga bulan,” ujar Rokiah Marong, 59, peniaga gerai No.3 di Restoran Anjung Ketam, Kampung Tanjung Aru, Wilayah Persekutuan Labuan.

ROKIAH

Rokiah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Kiah menganggap dugaan tersebut sebagai satu pengalaman dalam perniagaan.

Mana tidaknya, hampir dua belas tahun beliau menjalankan perniagan makanan laut belum pernah lagi menghadapi situasi yang mencabar seperti sekarang.

Menurutnya lagi perniagaannya semakin terjejas teruk susulan terdapat pengunjung luar yang telah disahkan positif COVID-19 yang menyebabkan kesemua premis di Anjung Ketam terpaksa ditutup atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman dapat dilakukan.

Katanya, sejak peristiwa itu, perniagaan kami agak merudum dan hasil jualan pun tidak seberapa. Walau bagaimanapun, ia berkemungkinan orang awam masih lagi takut untuk ke luar makan di Anjung Ketam kerana Labuan kini masih lagi berstatus zon merah.

LOBSTER BUTTERMILK

Jelas beliau lagi, selepas berlakunya kes tersebut sambutan pengunjung di Anjung Ketam kian malap dan suram.

“Ketika premis terpaksa ditutup. Saya dan anak-anak terpaksa menjadi nelayan dan turut ke laut setiap hari demi mencari sumber pendapatan lain untuk menanggung perbelanjaan harian.

“Sebaik sahaja premis kembali dibuka, Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi meskipun hasil pendapatan itu tidak seperti diwaktu sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia namun hasil itu serba sedikit mampu menampung kehidupan,” ujarnya ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini.

Terdahulu, Restoran Anjung Ketam merupakan salah satu tempat yang menyajikan pelbagai menu makanan laut dan satu-satunya restoran makanan laut yang diusahakan oleh peniaga tempatan.

Restoran Anjung Ketam juga salah satu tempat yang harus dilawati oleh pengunjung luar yang berkunjung ke Labuan.

KETAM BLACKPEPPER

Pelbagai menu hidangan makanan laut yang disediakan dengan harga berpatutan antaranya menu hidangan yang sering menjadi tarikan seperti ketam blackpepper, satak blackpepper, udang goreng butter, ikan sweet sour dan pelbagai lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas