Berita

Jabatan Wilayah Persekutuan sasar 50,000 peserta ‘Pasport 50WP’

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 6 Oktober 2023 3:35 AM MYT

JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) menyasarkan 50,000 penyertaan dari seluruh negara dalam program Pasport 50WP, bermula 1 Okt lepas hingga 25 Feb tahun depan.

Program ‘road map challenge’ atau cabaran peta jalan itu mengajak orang ramai untuk meneroka 50 lokasi (checkpoints) bersejarah, tersembunyi (unsung places) dan memukau (hidden gems) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Ketua Pengarah JWP, Datuk Noridah Abdul Rahim dalam kenyataan kepada Bernama berkata program sempena ulang tahun ke-50 penubuhan Wilayah Persekutuan tahun depan itu turut bertujuan meningkatkan perasaan sayang serta rasa kekitaan dalam menikmati keindahan, keunikan dan kepelbagaian Wilayah Persekutuan.

“Visi program ini adalah untuk memperkukuhkan lagi hubungan antara masyarakat dengan Wilayah Persekutuan sambil mempromosikan pertumbuhan dan perkembangan sektor pelancongan domestik.

“Ia juga menggalakkan komuniti untuk terlibat aktif dalam menikmati kesejahteraan dan kemajuan yang telah dicapai sepanjang setengah abad, yang merupakan hasil sumbangan daripada setiap individu di dalamnya,” katanya.

Noridah berkata Pasport 50WP diharap dapat mencipta momentum berterusan bagi sektor pelancongan di Wilayah Persekutuan.

“Apabila pelancongan domestik meningkat, ekonomi tempatan juga akan menerima manfaatnya khususnya kepada sektor berkaitan dengan hospitaliti, makanan dan perkhidmatan.

“Ia juga diharapkan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai sejarah dan warisan Wilayah Persekutuan sekali gus lebih ramai rakyat terutamanya mereka yang tinggal di luar Wilayah Persekutuan, berkunjung dan meneroka pelbagai tarikan yang ada di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program berkenaan dengan melayari laman sesawang JWP di www.jwp.gov.my atau menerusi emel di [email protected]. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas