Berita

105 jurulatih WiPers galas amanah, buru pingat di SUKMA 2024

- Diterbit 6 Oktober 2023 3:52 AM MYT

SERAMAI 105 orang jurulatih dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dilantik untuk ­membimbing skuad Wilayah Persekutuan (WiPers) dalam menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak ­pada 17 hingga 24 Ogos 2024.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan & Ekonomi) Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Parang Abai@Thomas, pemilihan tersebut dibuat ­menerusi penilaian dan tapisan secara ­terperinci daripada Panel Kejurulatihan dan Sains Sukan MSWP yang dipengerusikan oleh Datuk Mohd Nasir Ali yang juga merupakan Ahli Majlis MSWP.

“Seramai 66 orang jurulatih ­daripada Program WiJuara serta 39 jurulatih Program Bakat Wilayah Persekutuan telah dipilih ­bagi ­menerajui sukan masing-masing menuju SUKMA ke-21 di Sarawak.

PARANG ABAI (tengah) dan Nik Ahmad Zahiruddin (tiga kiri) bersama barisan jurulatih gimrama yang dilantik bagi membantu misi memburu pingat di SUKMA 2024.

“Selain daripada jurulatih yang sudah lama berkhidmat, saya ­juga mengucapkan selamat ­datang ­kepada semua jurulatih yang ­baharu dilantik ke keluarga besar WiPers. Saya memberikan ­kepercayaan penuh kepada kalian untuk ­memastikan pencapaian ­cemerlang atlet masing-masing,” katanya ­ketika Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jurulatih MSWP 2023 yang diadakan di Auditorium Menara Seri Wilayah pada Rabu.

Dalam masa sama, Parang Abai memaklumkan beberapa ­program telah diadakan ­termasuklah ­ceramah kesihatan dan ­psikologi yang ­diharap dapat memberikan serba sedikit pengetahuan baharu serta boleh diguna pakai oleh ­jurulatih bersama atlet masing-masing.

“Oleh kerana tempoh ­masa yang diberikan agak singkat, saya ­menuntut komitmen dan ­kerjasama penuh semua ­jurulatih sukan ­untuk memastikan setiap ­atlet yang bertanding di SUKMA akan melakukan yang terbaik ­dalam memastikan pencapaian ­hebat ­kontinjen Wilayah Persekutuan ­pada kali ini,” ujarnya.

Di samping itu, Pengarah MSWP, Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh berkata tugas ­sebagai ­seorang ­jurulatih ­adalah ­berat ­namun ­kejayaan turun naik ­seseorang ­atlet itu ­banyak ­dipengaruhi oleh kekuatan ­jurulatih dalam ­mencorakkan atlet masing-masing.

“Selain tugas utama ­merancang program latihan hingga ­mencapai ke tahap prestasi terunggul, ­jurulatih juga perlu memantau ­perkembangan prestasi atlet, ­mengenal ­pasti ­kelemahan dan kekuatan yang ada serta memberi sokongan moral ­kepada atlet selain ditambah ­dengan kerja-kerja pentadbiran yang perlu dilakukan.

“Seorang ­jurulatih ­juga ­memegang pelbagai ­peranan ­termasuklah ­sebagai ­pengajar, ­penilai, ­rakan, mentor, ­fasilitator, penasihat, penyokong, ­pencari ­fakta, ­motivator, ­kaunselor, ­pemandu, perancang dan ­sumber segala ilmu selain sering ­kali ­menjadi ‘­unsung hero’ ­kepada ­setiap kejayaan yang ­dirangkul ­atlet ­masing-masing,” ujarnya ­pihak MSWP ­amat ­menghargai segala ­jasa bakti ­dicurahkan jurulatih bagi ­memastikan Program Pembangunan Sukan berprestasi tinggi secara menyeluruh dan sistematik ­dapat dijalankan bagi kecemerlangan ­sukan di Wilayah Persekutuan.

Tambahnya lagi, ­diharapkan semua atlet dalam apa ­sahaja ­acara sukan tidak berasa terlalu ­selesa dan selamat dengan ­kedudukan ­masing-masing kerana pihak MSWP bakal menggugurkan sukan yang tidak memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan menjelang SUKMA di Sarawak.

“Selari dengan keputusan Ahli Majlis MSWP yang mahukan ­hanya sukan yang berada di ­landasan ­terbaik dihantar ke Sarawak, saya mahu mengingatkan jurulatih ­untuk memberikan yang terbaik dalam memastikan atlet Wilayah Persekutuan mencipta kejayaan lebih baik berbanding sebelumnya,” ujar beliau berharap semua jurulatih yang dilantik untuk bersama-sama berganding bahu bagi ­memastikan semua perancangan berjalan ­lancar dan mencipta kejayaan ­lebih ­cemerlang pada SUKMA akan datang.

Sebagai rekod, kontinjen WiPers menduduki tempat ­ketiga ­keseluruhan pada edisi ke-20 SUKMA yang diadakan pada tahun lepas dengan pencapaian 55 pingat emas, 69 perak dan 65 gangsa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas