Berita

Malaysia bakal bekerjasama dengan Jerman

MALAYSIA optimis untuk mencapai pertumbuhan ekononomi antara empat hingga lima peratus pada 2024
- Diterbit 15 Mac 2024 10:55 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited menjalin hubungan diplomatik bersama pemimpin luar negara dalam usaha menarik pelabur asing seterusnya membawa Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju.

Malah Malaysia optimis untuk mencapai pertumbuhan ekonomi antara empat peratus dan lima peratus pada 2024. Ia berdasarkan kerangka ekonomi MADANI yang merupakan asas kukuh yang digariskan menerusi Belanjawan 2024 Malaysia.

Namun begitu terdapat pihak yang masih tidak sedar dengan usaha yang dilakukan malah menuduh beliau sekadar menabur janji palsu dan tidak berusaha meningkatkan ekonomi negara.

Tuduhan tersebut nampaknya dilakukan untuk kepentingan diri sendiri serta tidak memahami dengan mendalam dan jelas impak positif yang akan diperolehi negara.

Sebagai contoh, usaha kerajaan menarik pelabur asing adalah pendekatan jangka panjang dan tentulah tidak dapat dilihat dalam masa terdekat. Ini kerana usaha mahupun pelan ekonomi yang telah dirancang mempunyai tempoh matang sebelum membuahkan kejayaan.

Terbaharu dalam rangka lawatan beliau ke Jerman, Anwar mengalu-alukan lebih banyak perniagaan Jerman untuk memanfaatkan lokasi Malaysia yang strategik di Asia Tenggara sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Terdapat banyak syarikat terkemuka lain di Jerman yang telah memilih Malaysia sebagai hab penting, pusat kecemerlangan dan pusat latihan. Dalam masa sama, beliau turut memberi fokus terhadap latihan pelajar.

“Kami mempunyai kira-kira 1,000 pelajar di seluruh Jerman untuk menjalani latihan di syarikat Jerman sebagai pendedahan awal kepada mereka,” kata beliau ketika sidang akhbar bersama rakan sejawatnya Canselor Olaf Scholz di Canselori Persekutuan, Berlin.

Anwar berkata, Putrajaya menyambut baik minat Berlin dalam industri tenaga boleh baharu (TBB) dan teknologi hijau di mana ia telah pun menjadi tumpuan Malaysia pada masa kini.

Terdahulu, lebih 700 syarikat Jerman berpangkalan di Malaysia mewujudkan sejumlah 65,000 pekerjaan.

“Kami bertuah kerana mempunyai kekuatan dalam tenaga solar, tenaga hijau dan kukuh dari segi kapasiti untuk mengeksport TBB,” ujar beliau Malaysia mengeksport TBB ke Nusantara serta menerusi kabel bawah laut ke Singapura.

Sebagai rekod, Jerman merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan anggota EU sejak tahun 2000 sementara Malaysia merupakan rakan perdagangan terbesar bagi Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Tahun lalu, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada 2022.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas