Berita

Integrasi wilayah menerusi pemusatan data – Annuar

SALAH seorang kakitangan KWP, Nurazreen Raja Zulkefli menunjukkan Pelan Induk Bandaraya Pintar Wilayah Persekutuan MYSmart Wilayah 2030 yang dilancarkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa hari ini.
- Diterbit 8 April 2021 6:11 AM MYT

PIHAK berkuasa tempatan (PBT) perlu memusatkan data yang terdapat di setiap jabatannya bagi membolehkan pelaksanaan dan pengurusan dilakukan dengan lebih sistematik serta berintegrasi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, pemusatan data itu juga membolehkan pemantauan dilakukan ke atas individu yang terlibat dengan kesalahan trafik atau tidak membayar cukai pintu.

Ini kerana, jelas beliau, pada masa ini, kerajaan negeri masih tidak dapat mengesan individu yang melakukan kesalahan.

“Perlu teliti perkara itu untuk dapat penyelesaian. Seperti pengalaman saya sendiri ketika berada di negara luar, pihak trafik datang ketika saya berada di lapangan terbang yang mana perlu bayar dulu sebelum keluar.

“Sebaliknya, di negara kita, orang langgar-langgar peraturan dapat pulang ke negara dulu. Kita pun sukar untuk jejak,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Pelan Induk MYSmart Wilayah 2030 pagi tadi.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, langkah itu juga dapat menjimatkan tenaga seperti aspek pengurusan pencahayaan lampu di taman awam di samping pengurusan sistem e-tanah yang turut memudahkan masyarakat setempat.

Beliau juga memaklumkan, pengumpulan data itu boleh dikongsi antara wilayah dan bandar sekali gus membolehkan pelaksanaan atau tindakan dilakukan dengan lebih efisien termasuk pengesanan individu yang melakukan kesalahan.

Terdahulu, pada program itu, Annuar melancarkan Pelan Induk MYSmart Wilayah 2030 yang menggariskan 25 dasar, 76 tindakan, 118 indikator dan 25 petunjuk prestasi utama (KPI) melibatkan agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) serta tujuh komponen utama. – WILAYAHKU – NAZWIN NAZRI

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas