Berita

Pembangunan selari menerusi Pelan Induk MYSmart Wilayah 2030

|
- Diterbit 8 April 2021 5:30 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, Pelan Induk Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MYSmart Wilayah 2030) menggariskan 25 dasar, 76 tindakan, 118 indikator dan 25 petunjuk prestasi utama (KPI) melibatkan agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) serta tujuh komponen utama.

“MySmart Wilayah 2030 menggariskan tujuh dasar utama iaitu smart governance, smart economy, smart living, smart environment, smart people, smart mobility dan smart infrastructure.

“Secara dasar ia menfokuskan untuk meningkatkan kualiti hidup melalui penggunaan teknologi serta memperkasakan dan mewujudkan masyarakat pintar melalui digitalisasi dan inovasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran MySmart Wilayah 2030.

Jelasnya panduan akan diberikan kepada agensi-agensi pelaksana ruang untuk bekerjasama dengan Jabatan dan agensi di bawah KWP dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif bandar pintar melalui penerapan Revolusi Industri 4.0, Internet of Things (IoT), Big Data, Artificial Intelligent (Ai) serta teknologi 5G.

Beliau turut berkata, pelaksanaan MySmart Wilayah ini akan memberi kesan positif terhadap kebajikan dan kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan (WP) daripada pelbagai aspek.

“Ekonomi rakyat dapat ditingkatkan menerusi pelaksanaan ekonomi digital seperti memudahkan urusan perniagaan dan transaksi jual beli secara atas talian.

“Kalau dari segi pendidikan, program ini dapat membantu meningkatkan keupayaan platform pembelajaran secara pintar dan interaktif seperti digital classroom dan digital library, ” tambah Annuar.

Mengulas aspek keselamatan pula, ujar beliau, rakyat dapat menikmati kehidupan bandar yang selamat dengan peningkatan instrument seperti CCTV dan panic button.

Ujarnya, penyediaan Blueprint ini adalah komitmen berterusan KWP dalam menulurusi arus gelombang revolusi digital dalam memastikan tadbir urus dan perkhidmatan WP lebih efisien dan efektif.

Blueprint merupakan program di bawah kerjasama KWP, PLAN Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan visinya mentransformasikan WP sebagai Smart City. – WILAYAHKU- DIANA SYUHADA MOHD AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas