Berita

Mampu berdiri sendiri – Ah Lek

JUALAN buah-buahan di gerai Ah Lek mendapat sambutan menggalakkan ketika malam Tahun Baru Cina.
- Diterbit 11 Februari 2021 12:33 PM MYT

PERNAH berhadapan ­dengan pelbagai cabaran ketika menjalankan aktiviti penjajaan di sekitar Kuala Lumpur, Khoo Ah Lek akhirnya menarik nafas lega kerana sudah memiliki lesen perniagaan sementara untuk tempoh enam bulan.

Ini kerana, katanya, sepanjang tempoh tidak memiliki lesen, gerai yang didirikan juga pernah tiga kali dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana tapak yang diduduki dahulu adalah milik syarikat swasta.

AH Lek

“Disebabkan itu, kami berpindah ke tapak sekarang dan berjaya mendapatkan lesen niaga sementara,” katanya kepada Wilayahku.

Menceritakan perjalanan hidupnya, Ah Lek berkata, dia berhijrah dari Muar, Johor sejak 40 tahun lalu dan menjaja buah-buahan di Jalan Desa Utama berhampiran Taman Desa, Kuala Lumpur untuk menyara keluarga.

Oleh itu, katanya, kelulusan lesen perniagaan sementara yang diterimanya pada Disember 2020 adalah hadiah bermakna sempena Tahun Baru Cina yang bakal diraikan pada 12 Februari nanti.

“Dengan ­adanya lesen itu, saya ­lebih bersemangat untuk ­terus berniaga tanpa perlu mengharapkan bantuan daripada kerajaan bagi meneruskan kehidupan,” katanya yang memperoleh pendapatan sebanyak RM120 sehari.

Dalam pada itu, Ah Lek turut menaruh harapan yang tinggi agar pihak DBKL dapat memberikan kelulusan permohonan lesen tetap memandangkan dia sudah lama berniaga di kawasan tersebut.

“Lesen yang diberikan ini adalah sementara dan dalam tempoh enam bulan sahaja. Selepas itu, ia tertakluk kepada budi bicara DBKL.

“Sekiranya boleh, saya memohon agar dapat diberikan lesen tetap seperti peniaga lain untuk memudahkan aktiviti penjajaan pada masa depan khususnya selepas lesen sementara ini tamat tempoh,” katanya yang menjalankan perniagaan dengan bantuan dua orang anaknya.

Menyentuh mengenai sambutan Tahun Baru Cina, Ah Lek berkata, dia mempunyai empat orang anak dan hanya membuat sedikit persiapan kerana keadaan negara yang masih lagi belum pulih dengan ancaman COVID-19.

“Setakat ini kami hanya membuat persiapan yang sederhana dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya. – AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas