Berita

Ini satu kudeta yang gagal – Khalid Samad

KHALID bersama Aminuddin menaiki belon panas selepas menyempurnakan Pelancaran Media Fiesta Belon Panas Antarabangsa Putrajaya 2020 di Dataran Putrajaya pagi ini.
- Diterbit 24 Februari 2020 2:54 AM MYT

PUTRAJAYA – Di sebalik suasana hangat ura-ura berlaku perubahan kerajaan, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad tampil dengan tenang pagi ini bagi merasmikan pelancaran media program Fiesta Belon Panas Antarabangsa Putrajaya 2020 di sini.

Khalid turut mengambil kesempatan menaiki belon panas tersebut bersama Presiden Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Kehadiran beliau pada majlis tersebut bagaikan ‘mematikan’ khabar angin kencang sejak dari semalam bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang melibatkan gabungan  Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Amanah Negara (Amanah) bakal runtuh.

Khalid yang merupakan Pengarah Komunikasi Amanah ketika bercakap kepada pemberita dengan jelas mengisytiharkan usaha untuk membentuk kerajaan baharu secara pintu belakang adalah satu kudeta yang gagal.

“Jadi berdasarkan apa yang berlaku semalam, kita sekarang menyedari Tun Mahathir tidak berada di Istana Negara dan tidak berada di Hotel Sheraton, Petaling Jaya semalam.

“Saya mahu membuat pengisytiharan bahawa ini adalah coup d’etat yang gagal. Usaha pintu belakang ini tidak akan berjaya melainkan jika Tun Dr. Mahathir (Mohamad) terlibat,” katanya.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, pada tahun 2014,  mereka (Pakatan Rakyat) mempunyai pengalaman insiden yang sama apabila ada seorang pemimpin memperoleh surat akuan bersumpah daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO, Pas dan segelintir wakil rakyat PKR untuk membolehkan beliau menjadi Menteri Besar.

“Tetapi kali ini dia tidak mendapat  akaun bersumpah untuk mendapat sokongan sebagai Perdana Menteri tetapi mempunyai akaun bersumpah untuk menyokong Tun Dr. Mahathir yang sudah sedia menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan siapakah pemimpin politik tersebut.

Khalid menyatakan, pihaknya percaya banyak pihak telah membuat rayuan kepada Dr. Mahathir agar tidak terlibat dalam usaha menubuh kerajaan secara pintu belakang kerana perkara itu bakal mencalarkan reputasinya sendiri dan penghormatan antarabangsa.

“Ini kerana kita semua sudah memberikan persetujun untuk memberikan sokongan penuh kepada Tun Dr. Mahathir. Beliua tidak perlu terlibat dalam perbuatan kotor sebagaimana yang telah diusahakan,” tegas beliau.  – WILAYAHKU

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas