Berita

Empat suspek rompak kedai emas di Bukit Tinggi dicekup polis

SEORANG suspek terbaring dipercayai akibat dibelasah orang awam setelah merompak kedai emas di sebuah pusat beli belah di Bukit Tinggi,Klang semalam.
- Diterbit 23 Februari 2020 3:10 PM MYT

SHAH ALAM – Polis menahan empat lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian rompakan kedai emas di Bukit Tinggi, Klang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, semua suspek berusia antara 22 hingga 23 tahun itu ditahan di lokasi berasingan.

SUSPEK yang sedang diburu polis.

“Seorang suspek ditahan di lokasi kejadian manakala tiga lagi ditahan petang tadi.

“Ketika ini, polis mengesan seorang lagi suspek dikenali sebagai S. Steven Egburd berusia 25 tahun.

“Suspek dipercayai tinggal di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Fadzil berkata, mana-mana individu yang mengenali suspek berkenaan diminta tampil ke balai polis berhampiran.

Malam semalam, pengunjung sebuah pusat beli-belah di Bukit Tinggi, Klang, dekat sini gempar apabila dua individu nekad melakukan rompakan di sebuah kedai emas di situ.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, dua penjenayah berkenaan meluru masuk ke premis terbabit ketika pekerja sedang bersiap-siap untuk menamatkan perniagaan.

Kedua-dua suspek yang memakai topi keledar berpenutup gelap masuk ke dalam kedai dengan bersenjatakan tukul besi memecahkan cermin kaca lalu merompak barangan kemas.

Bagaimanapun, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu membantu menangkap seorang suspek dan menemui kembali barangan kemas dirompak dan merampas tukul digunakan dalam kejadian itu.

Berikutan kejadian itu, beberapa klip video tular di media sosial termasuk rakaman dipercayai seorang suspek dalam keadaan cedera terbaring di dalam kedai emas terbabit.

Turut kelihatan satu rakaman video pengawal keselamatan mengacukan pistol ke arah dua penjenayah yang melarikan barang kemas terbabit. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas