Biz

“Ini adalah ‘universiti’ untuk usahawan” – Siti Nurhaliza timba ilmu di Richworks

|SITI kini menjadi ahli dan rakan niaga strategik yang pertama bagi Titanium Premier – Partner (TPP) RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) bawah bimbingan mentor
- Diterbit 17 Jun 2022 1:03 AM MYT

SABDA Rasulullah S.A.W, “sesiapa yang menempuh suatu jalan bagi menuntut ilmu maka Allah memudahkan jalannya menuju ke syurga.”

Itulah prinsip penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tidak jemu-jemu menimba ilmu terutamanya dalam perniagaan.

Terbaru, penyanyi lagu Kuasa Cintamu itu kini menjadi ahli dan rakan niaga strategik yang pertama bagi Titanium Premier – Partner (TPP) RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) bawah bimbingan mentor, Datuk Wira Dr. Azizan Osman.

Beliau yang juga pengasas produk kosmetik, penjagaan kulit dan wangian, SimplySiti Sdn. Bhd. menandatangani watikah keahlian dalam majlis khas baru-baru ini.

Menurut penyanyi yang lebih mesra di¬sapa Tok Ti, beliau memilih RichWorks dengan menyertai TPP untuk mempertingkatkan ilmu dalam perniagaannya.

“Selepas saya habis sekolah, dah kahwin dan sekarang dah ada anak, kini saya kembali belajar dan bila berada di sini saya rasa seronok sebab saya dapat jadi student.

“Saya tak fikir diri saya seorang penyanyi atau selebriti, sebaliknya saya letak diri saya sebagai seorang pelajar. Seronok bila dapat sama-sama buat assignment, dapat berkongsi ilmu, dalam masa yang sama saya cuba perbaiki diri saya sendiri.

“Sebab saya tahu saya banyak tanggungan di bawah. Ramai juga insan yang perlu saya ajar (tentang bisnes) jadi saya apa yang dipelajari, saya boleh kongsi,” katanya.

Siti juga menyifatkan Richworks adalah tempat mencari ilmu bisnes atau ‘universiti’ buat dirinya dan usahawan lain.

“Saya boleh katakan ini adalah universiti untuk semua usahawan.

“Kalau diimbas semula, saya pernah belajar jurusan ekonomi. Kini sebagai usahawan nak terima apa yang kita belajar melalui buku kepada keadaan yang di luar tu sebenarnya bukan senang.

“Praktikal tu bukan semua orang boleh buat. Jadi dia kena ada skill yang berbeza. Jadi Richworks ada skill tu.

“Itu yang kadang-kadang bila kita bagus dalam subjek dan sebagainya, belum tentu bagus dalam buat presentation. Sebab tu pentingnya untuk kita terus belajar,” jelasnya.

SITI kini menjadi ahli dan rakan niaga strategik yang pertama bagi Titanium Premier – Partner (TPP) RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) bawah bimbingan mentor, Datuk Wira Dr. Azizan Osman.

Dalam masa yang sama, Siti akui beliau perlukan bimbingan yang berterusan kerana fokusnya sebelum ini lebih kepada bidang nyanyian yang sudah menjadi ‘makanannya’.

“Saya perlukan bimbingan dan juga bantuan kerana sebelum ini saya lebih kepada dunia hiburan yang menjadi makanan saya.

“Tapi dalam dunia perniagaan saya akui masih kurang ilmu dan perlukan bimbingan. Selama ini pun saya dibimbing oleh team profesional yang dilantik iaitu staf-staf saya, tapi saya perlu tahu (belajar) untuk menjadi leader yang bagus.

“Walaupun tidak dapat mengikuti kelas sepenuhnya (beberapa hari lepas), masa yang diberikan sangat bermakna dan diisi dengan begitu baik sekali.

“Vision kami sama. Syarikat saya (CTDK Holdingd) dan Richworks juga, kita sama-sama berkolaborasi dan insya Allah doakan agar capai apa matlamat yang diinginkan,” tambahnya lagi.

SITI (dua dari Kanan) bersama Pak Nil, Azizan Osman dan orang kuat Richworks.

Sebagai pengasas produk, Siti juga menyimpan impian sebagaimana usahawan lain untuk terus menembusi pasaran antarabangsa.

“Sebagai pengasas produk, sudah tentu saya nak menembusi pasaran antarabangsa. Salah satunya, kita dah masuk pun Indonesia.

“Dalam sibuk melakukan promosi produk di Indonesia, tiba-tiba dunia diserang COVID-19. Pandemik itu membuatkan ia sedikit slow.

“Alhamdulillah.. Sekarang border sudah dibuka. Jadi kami dah plan untuk membawa kembali jenama produk saya di peringkat yang lebih jauh lagi.

“Semua orang maklum, pasaran di Indonesia terlalu luas. Rugi kalau tak ambil kesempatan yang ni. Insya Allah kita berusaha.

“Walaupun sukar tapi dengan bantuan dan kolaborasi dengan mereka yang profesional, insya Allah ia akan memudahkan perkara-perkara yang sukar itu,” katanya lagi. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas