Biz

Inflasi, harga barang naik, semua terjejas

ROSLI sedang membungkus nasi daging di gerainya.
- Diterbit 30 Mei 2022 3:13 AM MYT

ISU kenaikan harga barang sejak akhir-akhir ini sering menjadi bahan utama perdebatan di mana sahaja. Namun baru-baru ini ia semakin hebat dibicarakan susulan kenaikannya secara mendadak.

Hari demi hari ia semakin membelenggu rakyat di negara ini sehingga ramai yang menunding jari serta menyalahkan antara satu sama lain.

Bagi peniaga yang terpaksa menaikkan harga barang membuatkan rata-rata pembeli melabel mereka sebagai ‘cekik darah’ namun segelintir daripada mereka mengakui terpaksa melakukan hal tersebut.

Sejauh mana keadaan ini menghimpit peniaga? Mari kita ikuti luahan pengusaha dalam menghadapi situasi hari ini lebih-lebih lagi ketika negara dan seluruh dunia dilanda COVID-19.

HARGA PERLU SEIRING DENGAN KOS BAHAN MENTAH

BAGI peniaga nasi daging, ayam dan itik salai, Rosli Manah, 55, harga makanan yang dijual bukanlah untuk mengaut keuntungan besar sebaliknya ia bersesuaian dengan harga bahan mentah yang semakin tinggi di pasaran.

“Bila harga ayam, itik dan daging naik, sudah tentu saya perlu menaikkan harga makanan yang saya jual. Kalau harga bahan mentah naik sikit tak mengapa, tetapi ia terlalu tinggi dan tak pulang modal.

“Pendek kata, harga perlulah seiring dengan kos bahan mentah. Bukan untung banyak pun sebab semua bahan asas atau sampingan naik harga sekarang,” ujarnya kepada Wilayahku.

Katanya lagi, jika dia masih menjual dengan harga yang sama, sudah pasti sukar untuknya meneruskan kehidupan kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap selain perlu menanggung keluarga.

“Biasalah, ada yang merungut. Namun ramai yang memahami situasi ekonomi negara. Bagi saya, selagi boleh bertahan, saya akan teruskan bisnes kecil ini,” jelasnya yang membuka gerai jualan di Lake Fields, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

SEMUA TERKESAN

PENJUAL makanan dalam talian, Md Fazali Md Som, 40, mengakui kenaikan harga bahan mentah bukan sahaja membebankan peniaga malah pelanggan juga turut terkesan dengan keadaan tersebut.

“Bila harga barang naik, sama ada peniaga mahupun pembeli, semuanya akan rasa terbeban,” ujarnya.

Katanya lagi, dia yang menjual makanan seperti rendang dan lauk-pauk untuk individu serta pelbagai jenis majlis amat merasai bebanan tersebut kebelakangan ini.

“Misalnya harga ayam sebelum ini dalam RM6 sekilogram tetapi sekarang harganya sudah mencecah RM10 sekilogram. Melihat situasi ini, baik peniaga atau pembeli semuanya terkesan. Apa boleh buat, kehidupan perlu diteruskan.

“Bukan sahaja bahan mentah, harga bekas makanan pun naik. Misalnya bekas makanan plastik yang biasa saya guna. Dulu 50 bekas berharga RM19.20 tetapi sekarang mencecah RM25,” jelasnya.

PENIAGA TERPAKSA NAIKKAN HARGA

“KAMI bukan suka-suka nak naikkan harga makanan yang kami jual. Saya jual nasi lemak kukus berlauk. Tapi bila harga bahan mentah naik, saya tiada pilihan lain,” ujar penjaja makanan, Norizah Md Som, 56.

“Dulu nasi lemak biasa harganya RM1.50 sekarang RM2. Kalau ada lauk, tentunya harga lebih tinggi. Kalau nak diikutkan sebelum ini harga daging RM29 sekilogram, kini sudah mencecah RM35 sekilogram,” ujarnya sedikit terkilan.

PULUT kuning Norizah terima permintaan tinggi.

Tambahnya lagi, ikan kembung juga melambung tinggi sehingga RM24 sekilogram selain kesemua jenis sayur juga mengalami peningkatan harga.

“Semua kenaikan harga bukanlah sedikit tetapi mendadak tinggi. Macam mana kami peniaga nak kekalkan harga dulu. Diharapkan pelanggan pun faham situasi ini,” jelasnya yang berniaga nasi lemak kukus berlauk di Projek Perumahan Kos Rendah (PPR), Desa Tun Razak, Kuala Lumpur.

ORANG PUN SUSAH NAK MAKAN, APATAH LAGI HAIWAN

PENIAGA kedai runcit, Jessica, 42, hampir kesemua barangan runcit mengalami kenaikan harga mendadak melainkan barangan kawalan seperti beras, gandum, gula dan minyak.

JESSICA di kedai runcit miliknya

“Boleh dikatakan semua harga barangan runcit mengalami kenaikan harga. Sebagai peniaga yang baru nak bangkit semula setelah negara ke fasa endemik, ia agak membebankan kami.

“Apabila pembekal menetapkan harga yang tinggi, berapa saya mahu jual kepada pelanggan? Bagaimana pula dengan keuntungan yang diperolehi sedangkan pelbagai komitmen seperti kedai perlu dibayar, gaji pekerja dan sebagainya.

“Tak dinafikan, ramai pelanggan meluahkan isi hati mereka tentang kenaikan harga. Apa boleh buat, saya pun terpaksa ikut harga pasaran,” ujarnya sedih dengan keadaan semasa.

Tambahnya lagi, sesetengah pelanggan setia kedainya yang masih menganggur tidak mampu membeli barangan asas makanan sedangkan mereka mempunyai tanggungan keluarga.

“Orang pun susah nak makan, jadi ada juga dalam kalangan pelanggan saya yang terpaksa melepaskan haiwan jagaan mereka kerana tidak mampu lagi menjaga dan membeli makanan,” ujarnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas