Berita

Ihya’ Ramadan Putrajaya capai sasaran luar biasa

PENGUNJUNG Ihya’ Ramadan Putrajaya 2022 memenuhi Laman Iftar untuk berbuka puasa sambil disajikan dengan persembahan muzik secara langsung.
- Diterbit 30 Mei 2022 2:47 AM MYT

PROGRAM Ihya’ Ramadan Putrajaya 2022 anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan lalu berjaya menepati sasaran pengunjung seramai 500,000 orang.

Malah, jumlah sasaran juga melangkau jangkaan dengan mencatatkan lebih 500,000 pengunjung di keempat-empat komponen utama iaitu Bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar.

Kejayaan tersebut agak ‘luar biasa’ memandangkan selama dua tahun program yang menyokong perkembangan ekonomi selain sarat aktiviti kerohanian ini tidak dianjurkan berikutan pandemik melanda negara.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pencapaian dan kejayaan yang diperoleh PPj, ikuti sesi wawancara eksklusif Wilayahku bersama Pengarah Bahagian Perlesenan, Jabatan Perkhidmatan Bandar, Jeffri Mustapa.

JEFFRI MUSTAPA

WILAYAHKU: Berapakah jumlah pengunjung yang telah diterima sepanjang penganjuran Ihya’ Ramadan Putrajaya 2022 lalu?

JEFFRI: Alhamdulillah, Ihya’ Ramadan Putrajaya 2022 berjaya menepati sasaran pihak PPj di mana seramai 500 ribu pengunjung iaitu 210,000 ribu yang mengunjungi Bazar Ramadan Putrajaya bermula 1 hingga 29 Ramadan manakala lebih daripada 300 ribu yang hadir ke Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar. Jadi, jumlah keseluruhan lebih daripada 500 ribu orang.

WILAYAHKU: Bagaimana dengan impak yang diterima oleh peniaga terutama penjaja kecil selain maklum balas mereka terhadap penganjuran ini?

JEFFRI: Penganjuran Ihya’ Ramadan Putrajaya 2022 berlangsung dengan jayanya dan mencapai objektif kami yang bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan dengan pengisian kerohanian, selain menyokong perkembangan ekonomi di Putrajaya.

Kehadiran pengunjung pada hari pertama bazar Ramadan melangkau jangkaan PPj iaitu 3,000 ribu hingga 6,000 pengunjung manakala pada hujung minggu pula, ia mencecah 10,000 sehingga 12,000 orang.

Meskipun kehadiran pengunjung di Anjung Syawal dan Laman Iftar untuk berbelanja dan berbuka puasa adalah sangat padat, namun ia masih mematuhi kawalan prosedur operasi standard (SOP).

Rata-rata peniaga yang terlibat menyatakan rasa gembira dan berpuas hati dengan penganjuran kali ini serta berharap dapat terlibat dalam Program Ihya’ Ramadan Putrajaya pada tahun hadapan.

WILAYAHKU: Berapakah purata jualan yang diterima oleh peniaga?

JEFFRI: Berdasarkan pemerhatian PPj, secara kasarnya hasil jualan yang diperoleh 160 peniaga bazar Ramadan dianggarkan dalam lingkungan antara RM3,000 sehingga RM10,000 bagi setiap peniaga dengan purata jualan RM3,500 sehari.

Manakala anggaran kasar hasil jualan 150 peniaga di Anjung Syawal, Laman Iftar dan Kiblat Walk dianggarkan dalam lingkungan antara RM150 ribu hingga RM300 ribu sebulan bagi setiap peniaga.

WILAYAHKU: Apakah isu-isu yang banyak dibangkitkan dalam kalangan pengunjung mahupun peniaga dalam penganjuran tahun ini dan bagaimana pihak PPj memberi respons kepada isu-isu ini?

JEFFRI: Sejajar dengan perkembangan semasa, rakyat lebih selesa menggunakan medium media sosial seperti Facebook, TikTok dan sebagainya berbanding saluran rasmi.

Di peringkat awal bulan Ramadan, isu pengunjung beratur panjang banyak dibangkitkan. Namun begitu, pihak PPj secara berperingkat telah menambah baik prosedur masuk ke bazar Ramadan selaras dengan pengumuman penangguhan had kapasiti bagi sesuatu kawasan.

Isu yang menjadi perhatian adalah kebersihan peniaga dan kesesakan lalu lintas khasnya di kawasan Bazar Ramadan Putrajaya

Justeru itu, PPj sentiasa cakna dengan isu dan permasalahan yang dibangkitkan sama ada oleh pengunjung mahupun peniaga dan telah mengambil tindakan segera ke atas aduan yang diterima.

PPj juga sentiasa proaktif dengan menugaskan lebih kurang 100 petugas pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan sentiasa ditugaskan pada setiap hari dalam aspek pelesenan, operasi bazar, kawalan alam sekitar, kawalan pengunjung, lalu lintas, tempat letak kereta, pematuhan SOP kesihatan dan kebersihan.

Kita juga bekerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan lain termasuk Pejabat Kesihatan Putrajaya, Polis Daerah Putrajaya dan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menangani isu-isu yang berbangkit.

WILAYAHKU: Apakah penambahbaikan yang akan dilaksanakan oleh PPj pada masa penganjuran yang akan datang?

JEFFRI: Sebagaimana semua sedia maklum, negara kita telah pun beralih ke fasa endemik. Oleh hal demikian, jumlah peniaga dijangka boleh ditambah kepada jumlah maksimum kapasiti tapak Bazar Ramadan Putrajaya sehingga 300 peniaga berbanding hanya 160 sahaja pada tahun ini.

Variasi jenis jualan dan peniaga juga akan diperhebatkan untuk menjadikan Putrajaya sebagai Pusat Sehenti Jualan Ramadan dan Barangan Raya seterusnya menjadikan ia sebagai tarikan pelancongan utama.

WILAYAHKU: Apakah perancangan PPj bagi mengimarahkan lagi Ihya’ Ramadan pada tahun 2023?

JEFFRI: Ihya’ Ramadan Putrajaya sememangnya telah menjadi jenama acara bagi bulan Ramadan di Putrajaya. Oleh itu, PPj merancang untuk mempergiatkan promosi bagi menarik pelancong untuk mengunjunginya di samping bekerjasama dengan pihak agensi pelancongan, agensi berita mahupun pihak Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian (MOTAC) dengan membangunkan pakej lawatan, ibadah dan penginapan.

Selain itu, program-program kerohanian akan ditambah di sepanjang bulan Ramadan dengan penglibatan ustaz-ustaz selebriti dan pendakwah terkenal.

Kami juga menyasarkan 800 ribu pengujung pada tahun 2023 tetapi kalau boleh mencapai 1 juta pengunjung, ia bonus untuk kami. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas