Biz

Industri getah sumbang RM41 bilion

TERESA (dua dari kanan) bergambar bersama maskot biji getah pada Majlis Anugerah Inovasi Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh baru-baru ini.
- Diterbit 2 Disember 2019 4:19 AM MYT

SUNGAI BULOH – Industri getah negara dijangka menyumbang kepada pendapatan negara sebanyak RM41 bilion pada 2020 berbanding anggaran RM40 bilion tahun ini.

Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim berkata, sebahagian besar jumlah itu disumbangkan oleh sektor hiliran termasuk sarung tangan getah.

“Hasil daripada industri sarung tangan getah telah mencatatkan nilai eksport yang dianggarkan sebanyak RM20.68 bilion pada 2020 berbanding RM18.2 bilion yang dianggarkan pada 2019,’’ katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Inovasi Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Stesen Penyelidikan LGM di Sungai Buloh di sini baru-baru ini.

Teresa berkata, LGM turut digesa supaya meneruskan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan pendapatan negara terutamanya pekebun kecil.

“LGM perlu berada di barisan hadapan dan meletakkan dirinya di keluk perubahan yang besar agar terus berdaya saing, setaraf atau melebihi negara pengeluar getah asli yang lain,” katanya.

Teresa berkata, peranan dan prestasi LGM dalam sektor R&D telah berjaya meletakkan Malaysia terkenal sebagai pengeluar bahan mentah getah dan produk-produk berasaskan getah berkualiti tinggi.

“Saya juga telah dimaklumkan bahawa LGM menang satu anugerah emas dan dua anugerah perak di Pameran Antarabangsa Penciptaan, Inovasi dan Teknologi (ITEX) 2019.

‘‘Oleh itu, saya menggesa LGM untuk terus berusaha mempergiat aktiviti R&D yang diterajui pasaran dan berpotensi dikomersilkan serta diguna pakai oleh pekebun kecil.

“Saya berharap pihak industri, pengusaha estet dan pekebun kecil mendapat manfaat daripada hasil R&D LGM dari aspek peningkatan produktiviti dan pembangunan produk berasaskan getah yang bernilai tinggi dan mempunyai potensi pasaran yang luas,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas