Selera

Burrito rangup di Rollo Mexican

QUESADILLA Beef.
- Diterbit 2 Disember 2019 4:44 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI

MENU benua Amerika Utara yang berwarna-warni dan disulami rasa pedas serta masam manis menjadi tarikan baharu di negara ini. Mudah dan lebih santai serta sesuai dimakan pada bila-bila masa menjadikan hidangan Mexico sentiasa dicari, bagaimanapun pada masa ini, tidak banyak restoran yang menyajikannya.

Bijak mengambil peluang, anakanak pasangan Halimah Ayob, 53 dan Allahyarham Mohd. Ghazali Nordin membuka restoran yang menyajikan masakan negara Latin itu.

Bertapak di Taman Dagang, Ampang Jaya, Selangor sejak Ogos tahun lalu, Rollo Mexican Food dikendalikan enam orang adik-beradik iaitu Mohd. Adam, Mohd. Musa, Mohd. Idris, Nur Sarah, Nur Farah dan Mohd. Mikhail.

BURGER Chicken Crispy.

Berbekalkan pengalaman dan ilmu masakan yang diperoleh semasa bekerja, Adam, Musa dan Idris menggalas tanggungjawab menyediakan hidangan istimewa Mexico manakala Sarah dan Farah pula menjadi teraju di bahagian hadapan.

Di sini, menu yang diketengahkan adalah Burrito, Nanchos dan Taco yang semestinya menepati rasa tempatan. Lebih menyelerakan apabila sayuran segar bersama hirisan daging dihidang bersama kepingan roti pizza yang diadun sendiri oleh Adam yang juga abang sulung manakala inti dan sos pula merupakan sentuhan ajaib daripada Musa dan Idris.

Aroma setiap hidangan yang memenuhi segenap ruang kedai pastinya membuka selera pelanggang. Bagi menu Taco, kesedapannya tidak terhenti begitu saja kerana tortilla yang dipenuhi inti serta sayuran berwarna-warni di samping sos masam manis kekal rangup saat dikunyah.

Gerai kecil

Menurut Halimah, perniagaan anak-anaknya itu bermula apabila dia tidak mengizinkan Musa meneruskan kerjaya sebagai tukang masak di atas kapal kerana bimbang keselamatan anak keduanya.

“Oleh kerana patuh, Musa berhenti dan cuba mendapatkan pekerjaan sebagai tukang di kapal-kapal pelancongan. Semasa menunggu panggilan selepas menghadiri sesi temuduga, dia mengambil keputusan untuk berniaga Burrito.

“Tambahan pula, rakannya mencadangkan supaya mereka berniaga kecil-kecilan dan pada masa itu terdapat Piala Dunia 2014. Kebetulan, perlawanan bola sepak berlangsung pada waktu Subuh.

KEENAKAN Chicken Chop Grill di Burrito tiada tandingan.

“Burrito mendapat permintaan yang tinggi selepas gerai dibuka di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Taman Dagang,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Bagi memberi keselesaan kepada pelanggan, Halimah berkata, pada 2016, perniagaan anaknya itu berpindah ke kontena di hadapan Masjid Al-Mustakim, Taman Dagang selain tiga lagi gerai cawangan di sekitar Ampang.

“Menu ditambah supaya pelanggan dapat membuat pilihan dan selepas berniaga kira-kira hampir tiga tahun, anak-anaknya berjaya menyewa kedai makan bermula Ogos tahun lalu,” jelasnya.

Bagi Musa pula, kedua-dua orang tuanya merupakan penasihat serta pendorong yang membolehkannya bersama adik beradik lain membuka Rollo Mexican, malah kata-kata arwah ayahnya ‘buat dengan hati yang ikhlas’ tidak akan dilupakan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas