Selebriti

Allah bagi ‘teguran’ untuk saya – Fizz Fairuz

- Diterbit 29 November 2019 7:19 AM MYT

Oleh: Ibnatie Aziza Mat Roff

SANTAI dan bersahaja. Langsung tiada riak kurang senang apabila didekati media untuk ditemubual. Itu reaksi pelakon Fizz Fairuz ketika ditemui sejurus Kejohanan Boling 2019 anjuran Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bersama selebriti baru-baru ini.

Meskipun dapat mengagak soalan yang bakal ditanya kepadanya, pelakon berbakat, Datuk Fizz Fairuz tetap memberikan kerjasama yang baik dan menjawab satu persatu soalan yang dilontarkan.

“Alhamdulillah, saya baik-baik saja. Di samping menghabiskan masa bersama keluarga, saya juga sibuk juga dengan kerja-kerja lain,” ujarnya sebaik disapa.

Menyentuh tentang isu status tiada ‘job’ yang dimuat-naik oleh isterinya, pelakon, Almy Nadia di laman Instagram, Fizz mengakui dia tidak mendapat sebarang tawaran berlakon sejak beberapa bulan yang lalu.

“Saya pun tak tahu kenapa hal tersebut terjadi dan di mana silapnya. Namun sepanjang tempoh tiada tawaran tersebut, saya bukanlah duduk goyang kaki sahaja, tetap membuat pekerjaan lain tetapi bukan dalam bidang lakonan,” ujarnya.

Pun begitu, jelas Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 40, keadaan tersebut berubah sejak dia memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian pada Anugerah Skrin 2019 baru-baru ini.

“Alhamdulillah selepas memenangi anugerah tersebut, keadaan berubah kepada asal, saya kembali mendapat tawaran berlakon semula,” ujarnya.

Tidak sedikit pun menyalahkan isterinya kerana memuat-naik status tersebut di laman Instagram, Fizz memahami niat baik isteri tercinta yang mungkin bersimpati melihatkan keadaan dirinya yang sunyi daripada dunia lakonan.

“Yelah, sebelum ini, tawaran lakonan sentiasa ada, tak putus-putus. Jadi bila suatu ketika, tawaran tu langsung tiada, saya jadi pelik dan macam terpinga-pinga. Keadaan tersebut buat saya janggal.

“Mungkin juga ini cara Allah bagi ‘teguran’ buat saya agar memberi tumpuan pada keluarga sekali gus banyak menghabiskan masa bersama isteri dan anak-anak. Jika sebelum ini, saya mungkin kurang bersama mereka kerana sibuk dengan kerjaya lakonan,” ujar Fizz.

Enggan duduk selesa

Menyedari dunia lakonan ada turun naiknya, anak jati kelahiran Raub, Pahang ini tidak membenarkan dirinya selesa pada tahap yang sama. Malah jauh sekali mengharapkan dunia lakonan sebagai mata pencarian utamanya.

Jelas bapa penyayang ini, dia turut membuat bisnes dalam pelbagai cabang bagi menampung kehidupan dan keselesaan keluarga tersayang.

“Alhamdulillah, rezeki dalam bidang lakonan dah ‘dibuka’ kembali buat saya. Selepas kejadian isu itu, saya dah ada ‘job’ lakonan semula tetapi dalam masa yang sama sentiasa beringat dengan apa yang terjadi.

“Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Apa yang penting, kita kena sentiasa bersangka baik dan positif dengan perancangan Allah,” ujarya.

Sempat menitip pesan kepa- da anak seni lain, menurut Fizz, sebagai selebriti, seandainya bijak dalam perniagaan, jangan sia-siakan kerana ia merupakan cara yang terbaik untuk menampung hidup keluarga dan bertahan jika tiada tawaran lakonan dan sebagainya.

“Kalau hanya bergantung kepada kerjaya seni semata-mata, kita boleh tumbang. Sangat penting untuk anak seni ada pelan sokongan kerana bidang ini tiada wang potongan gaji seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.

“Jadi, sesiapa yang mencari rezeki dalam bidang seni ni, memang kena beringat. Sentiasa kreatif untuk mempelbagaikan hasil pendapatan kita. Jika tidak, kita akan susah dikemudian hari kerana dunia seni tidak menjamin tawaran sepanjang hayat,” ujar Fizz.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas