Auto

Imperiale 400 bayangan klasik Benelli-MotoBi

BENELLI Imperiale 400
- Diterbit 8 September 2020 1:00 PM MYT

IMPERIALE 400, sebuah motosikal keluaran Benelli yang berjaya mengembalikan warisan model klasik jenama popular tersebut sekitar tahun 1950 iaitu Benelli-MotoBi.

Menariknya, walaupun ciri tunggangan mengekalkan konsep retro dan antik, namun ia mempunyai ‘semangat kebebasan’ serta kekal elegen di samping penambahbaikkan yang lebih moden sejajar dengan era masa kini.

Menawarkan enjin berkuasa empat lejang yang berunsurkan satu silinder di samping sistem penyejukan udara dan suntikan bahan api elektronik (EFI), Imperiale 400 pastinya menjadi pilihan mereka yang suka ‘rentas sempadan’ tambahan pula mempunyai kapasiti tangki minyak sebanyak 12 liter.

Dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang mampu menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 15.5kW pada 5,500 rpm dan 29Nm, motosikal ini begitu menjimatkan minyak terutama bagi perjalanan jauh.

Malah, berasaskan kerangka jenis ‘double cradle’ yang berhubung dengan tiub keluli tahan karat dan plat, Imperiale 400 pastinya mudah ditunggang dan dikawal.

Ia disusuli dengan suspensi hadapan yang teleskopik dan suspensi belakang yang penyerak hentak dengan 50mm ‘double shock absorber and travel’.

Keunikannya juga terserlah pada rekaan ekzos di samping sisipan krom yang meningkatkan lagi nilai vintaj walaupun ia model baharu Benelli.

Untuk pengetahuan semua, Imperiale 400 dilancarkan semasa Kejohanan MotoGP 2019 di Sepang dan diedarkan di semua kedai wakil penjual sah Benelli mulai Julai lalu.

Menurut Pengurus Besar Operasi MForce Bike Holdings Sdn Bhd, Asri Ahmad, model tersebut mendapat sambutan yang sungguh memberangsangkan daripada para penggemar motosikal klasik.

Malah katanya, sejak Januari lalu, sebanyak 100 unit Benelli Imperiale 400 telah habis ditempah dan model berkenaan dijangka habis terjual sebelum penghujung tahun ini sekali gus berjaya mencapai sasaran jualan tahunan syarikat.

“Benelli Imperiale 400 adalah model yang diilhamkan semula dari model klasik BenelliMotoBi yang dikeluarkan di Itali sekitar 1950-an menggunakan enjin satu silinder suntikan bahan api dengan sistem penyejukan udara yang dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan,” katanya.

Menurut Asri, walaupun tampil klasik, motosikal unggul ini turut mempunyai tiga pilihan warna iaitu hitam, merah dan kelabu.

Ujarnya, ia akan dijual pada harga RM15,888 di samping jaminan dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu).

“Pengguna disarankan untuk menggunakan minyak enjin PJ1 semasa servis kerana ia merupakan produk rasmi untuk semua motosikal Benelli.

“Selain mengedar, MForce Bike Holdings Sdn Bhd juga turut memasang dan menawarkan perkhidmatan selepas jualan termasuk alat ganti dan perkhidmatan Pembelian Alat Ganti Tulen Atas Talian (012-4122 933) bagi rangkaian produk Benelli di pasaran negara,” katanya.

SPESIFIKASI

ENJIN
Jenis Enjin: 1 Silinder, 4 Lejang, 2 Injap
Sesaran: 374 cc
Kuasa Maksimum: 15.5kW pada 5,500 r/min
Tork Maksimum: 29Nm pada 4,500 r/min
Gerek & Lejang: 72.7 x 90mm
Nisbah Mampatan: 8.5:1
Transmisi: 5 Kelajuan
Klac: Plat Basah Berganda
Sistem Bahan Api: Suntikan Bahan Api Elektronik (EFI)
Sistem Penghidup: Elektrik
Penyalaan: TLI- ECU Delphi MT05, Twin Spark
Pacuan Akhir: Rantai
Sistem Pelincir: Takungan Daya Basah
Sistem Penyejukkan: Penyejukan Udara

CESI
Kerangka: Double cradle with steel
tubes and plates
Suspensi Hadapan: Teleskopik
Suspensi Belakang: Penyerak Hentak
Brek Hadapan: Cakera Tunggal 300mm,
Piston Berkembar, ABS
Brek Belakang: Cakera Tunggal 240mm,
Piston Tunggal, ABS
Tayar Hadapan: 110/90 – 19M/C(57S)
Tayar Belakang: 130/80 – 18M/C(66S)

DIMENSI
Panjang Keseluruhan: 2,170mm
Lebar Keseluruhan: 820mm
Ketinggian Keseluruhan: 1,120mm
Ketinggian Pelana: 780mm
Jarak Roda: 1440mm
Kelegaan Bumi: 165mm
Berat Kering: 205 kg
Kapasiti Tangki Minyak: 12 Liter

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas