Personaliti

Air mata ibu pembakar semangat

MUHAMMAD AZLAN bersama ibu dan bapa yang sentiasa menjadi pendorong MUHAMMAD AZLAN bersama ibu dan bapa yang sentiasa menjadi pendorong
- Diterbit 6 September 2020 4:00 AM MYT

HATI anak mana yang tidak pilu melihat ibu menitiskan air mata kerana kesusahan dan kedhaifan hidup.

Mengimbau kembali detik perubahan didalam hidupnya, Muhammad Azlan Al Amin, 33 berkata beliau nekad mengubah nasib diri dan keluarga apabila melihat ibunya, Siti Aisyah Ismail 56, menitiskan air mata ketika mencuci pakaian kerjanya.

“Waktu itu sekitar tahun 2010, saya bekerja sebagai pengutip sampah di kem TUDM Gong Kedak, Pasir Putih, Kelantan. Berlaku satu peristiwa yang amat memberi kesan kepada saya dan saya masih ingat sehingga ke hari ini. Ianya seperti baru semalam saja berlaku,” katanya kepada Wilayahku ketika ditemui di sini.

MUHAMMAD AZLAN

Menurut Azlan, pada hari tersebut beliau pulang ke rumah dengan keadaan dirinya yang comot dan pakaiannya sangat kotor akibat terpercik najis lampin pakai buang kanak-kanak dan sampah di tempat kerja.

“Saya pulang awal untuk menukar pakaian lain dan saya lihat ibu mengambil baju itu untuk dibasuh sambil menitiskan air mata saya terasa amat pilu dan bertanya mengapa ibu menangis, tanpa sebarang jawapan, ibu hanya menunjukkan beberapa ekor ulat sampah yang keluar dari poket baju yang saya pakai tadi,” katanya.

Azlan faham ibunya sedih mengenangkan nasibnya yang terpaksa bergelumang dengan najis dan sampah demi meneruskan kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

Bermula dari saat itu, dia nekad untuk mencari jalan keluar bagi mengubah nasib dirinya sekeluarga dan tidak mahu lagi melihat ibunya bersedih.

“Saya sebagai anak lelaki, sudah tentu menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan nasib keluarga saya terbela,” tegas Azlan.

Namun menyedari kekurangan diri yang tidak mempunyai apaapa kelayakan akademik untuk memohon kerjaya selesa, Azlan tidak sedikit pun memasang citacita yang besar.

Pernah dibanci sebagai keluarga paling miskin di daerah Besut, Terengganu, Azlan mula menyakinkan diri untuk berani mengorak langkah.

“Berhenti daripada bekerja sebagai pengutip sampah, saya belajar di sebuah kolej. Ketika di pertengahan semester, saya memberitahu keluarga yang saya mahu berhenti belajar dan mencari pekerjaan. Sudah tentu hasrat saya ditentang hebat sehingga berlaku ketegangan dalam keluarga, namun pada waktu itu saya sudah nekad.

Saya yakinkan diri saya, jika saya tidak berjaya mendapat pencapaian akademik di bidang pendidikan tinggi secara formal, saya akan tetap belajar melalui pengalaman dan pasti mampu memiliki sekeping ‘ijazah di jalanan’ dari ‘universiti kehidupan’, jelasnya.

PERCAYA JANJI ALLAH

Setelah meyakinkan diri dan mendapat restu ibu, Azlan keluar dari rumah tanpa apa-apa perancangan atau wang simpanan.

“Ibu hanya membekalkan saya dengan wang RM1.30 dan berpesan hanya itu yang beliau mampu berikan kepada saya selain doa agar usaha saya diredhai dan dirahmati Allah dengan kejayaan,” katanya.

Azlan menceritakan pada hari pertama keluar dari rumah, dia membelanjakan wang RM1 untuk membeli sebotol air minuman dan RM0.30 untuk membeli sekeping roti.

“Pada hari kedua, saya terasa amat penat dan kelaparan. Saya berniat di dalam hati saya mahu pergi ke mana-mana kedai dan lihat jika ada sesiapa yang Allah hantarkan untuk membantu saya, saya amat lapar waktu itu,” katanya.

Tiba di sebuah kedai makan, Azlan menunggu di satu sudut yang agak tersorok. Setelah beberapa lama kemudian, beliau terlihat bekas guru sekolahnya iaitu Cikgu Halim di dalam kedai.

“Saya menyapa Cikgu Halim dan menceritakan situasi saya. Alhamdulillah sambil mendengar keluhan saya, Cikgu Halim sudi membantu saya,” Ketika itulah menurut Azlan,  beliau berpegang teguh kepada prinsip hidupnya agar tidak larut di dalam keselesaan, sebaliknya sentiasa mencabar diri sendiri untuk mencapai kejayaan.

“Cikgu menawarkan untuk menggajikan saya secara bulanan dan meminta saya menjual beberapa lot tanah miliknya. Saya menolak diberikan gaji bulanan namun meminta untuk diberikan komisyen atau upah setelah saya berjaya menjual lot tanahnya,”

Menurut Azlan dia menolak gaji bulanan kerana enggan berasa selesa dengan duit yang mudah diperolehi secara tetap, sebaliknya mahu berusaha sendiri dengan gigih mencari rezeki untuk diri dan keluarga.

Siapa sangka, anak keenam dari keluarga paling miskin di Besut, Terengganu ini berjaya menjual tanah milik bekas gurunya iaitu jualan pertama pada minggu pertama dia mencuba nasib.

SEDEKAH KUNCI KEJAYAAN

Hasil jualan pertamanya minggu itu Azlan berjaya mendapat komisyen sebanyak RM4,000 hanya dalam tempoh sejam.

“Saya memberikan hampir kesemua wang itu kepada ibu dan adik saya yang sedang belajar serta menyimpannya sedikit untuk keperluan diri.”

“Setiap kali saya memberi wang kepada ibu, adik-beradik dan bersedekah kepada orang-orang yang memerlukan, saya menerima balasan limpahan rezeki dari Allah yang berlipat ganda,” katanya.

Menurut Azlan, walaupun sukar diterima akal, hanya beberapa bulan pertama menceburi bidang perniagaan hartanah, berkat doa ibu dan amalan bersedekah, Azlan berjaya mengumpul kejayaan sehingga ratusan ribu ringgit.

“Tidak lama selepas itu dengan izin Allah, saya bergelar hartawan,” katanya.

KEJATUHAN PERTAMA

Seperti mana usahawan lain, Azlan tidak terkecuali dari merasai pengalaman kejatuhan dan kerugian dalam perniagaan.

“Nasihat saya kepada semua, jangan gopoh mengejar kekayaan tanpa mengambil panduan dan nasihat dari mentor atau mereka yang  berpengalaman. Untuk berjaya, kadang kita perlu belajar daripada jatuh bangun orang lain yang telah berjaya. Manakala untuk lebih cepat berjaya, tiru saja sikap dan disiplin orang yang berjaya,” katanya.

Menurut Azlan, akibat terlalu mengejar keuntungan yang dianggap mudah oleh beliau tanpa meminta panduan nasihat daripada mentor yang lebih berpengalaman, Azlan telah membuat pelaburan hartanah yang salah sehingga menyebabkan dirinya kerugian jutaan ringgit.

“Saya tidak merujuk mentor saya terlebih dahulu sebelum membuat pelaburan. Saya tergesagesa mengejar keuntungan dan saya alpa tentang disiplin perniagaan sehingga akhirnya saya menanggung akibat kerugian.” katanya.

Enggan untuk menyerah kalah, Azlan bangkit kembali dengan lebih berhati-hati dan sentiasa merujuk kepada yang lebih arif dalam bidang
perniagaan yang diceburinya.

“Jangan malu untuk mengakui kita tidak mahir dalam sesuatu bidang baharu yang diceburi, dan dapatkan bimbingan dari mereka yang lebih pakar supaya setiap tindakan serta keputusan yang kita lakukan adalah tepat.

BERSAMA isteri dan 4 orang anak mereka.

KOPERASI AZLAN AL AMIN BANTU USAHAWAN

Kejayaan beliau menjadi fenomena yang menginspirasikan ramai, khususnya golongan belia yang mendambakan nasihat dan bimbingan beliau. Menyedari perlunya para usahawan dibimbing secara praktikal oleh mereka yang telah berjaya, Muhammad Azlan Al Amin telah menubuhkan sebuah koperasi yang diberi nama Koperasi Azlan Al Amin Group Holdings
Terengganu Berhad. Tujuannya adalah untuk memberi ruang serta peluang kepada orang ramai khususnya para usahawan untuk membina kekuatan ekonomi secara berkumpulan.

“Saya melihat antara masalah utama usahawan masa kini adalah ketiadaan sistem rangkaian atau sokongan,”

Menjadikan sektor hartanah dan pembinaan berskala mega sebagai keutamaan, Koperasi Azlan Al Amin turut membuka peluang kepada
orang ramai yang menyertainya untuk melatih mereka menjadi usahawan berjaya. Menurutnya lagi, Koperasi Azlan Al Amin dilihat mampu mengatasi masalah utama keusahawanan di negara ini dengan suntikan modal dan aset yang kukuh.

RANCANG SEMINAR LATIH USAHAWAN

Azlan juga berhasrat untuk melatih para usahawan membina kejayaan yang cemerlang. Beliau merancang untuk mengadakan jelajah dan seminar RAHSIA JUTAWAN MUKMIN bersama pakar motivasi terkenal, iaitu Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.

Mengakhiri perbualan kami, Muhammad Azlan berharap agar semua usahawan mempertingkatkan daya saing dan kesabaran dalam tempoh dunia sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang bukan sahaja melumpuhkan manusia secara fizikal tetapi turut menjejaskan ekonomi.

“Seluruh dunia terkesan dengan wabak COVID-19, namun saya percaya mereka yang tabah, bijak dan mempunyai sistem rangkaian perniagaan yang baik akan terus bertahan.”

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas