Idam top 3 di Sukan SEA Vietnam

Idam top 3 di Sukan SEA Vietnam

KE mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Kejayaan bapa merangkul pingat perak pada Sukan Komanwel 1998 dalam sukan berbasikal menyuntik semangat buat atlet Wilayah Persekutuan, Nur Deena Safia Noraffendy, 22, untuk mencipta nama dalam sukan berbasikal bukit.

Menurutnya, sejak dari kecil lagi dia didedahkan oleh bapanya, Noraffandy Rosli dengan sukan berbasikal yang pada akhirnya membuatkan dia jatuh cinta dalam sukan tersebut.

“Bezanya saya lebih suka dengan sukan berbasikal bukit berbanding ayah yang muncul sebagai atlet berbasikal lebuhraya. Ini kerana saya lebih sukakan aksi yang lebih ekstrem kerana ia membuatkan diri terasa lebih puas.

“Selain itu, melalui sukan berbasikal bukit ini, jiwa saya lebih tenang kerana lebih dekat dengan suasana alam semulajadi. Kebiasaannya trek berbasikal adalah di hutan,” ujarnya kepada Wilayahku.

Kongsinya lagi, setiap kali berlatih mahupun menyertai pertandingan dalam kawasan hutan, dia akan memastikan basikalnya berada dalam keadaan baik.

“Saya mesti pastikan brek dan tayar dalam keadaan baik. Jangan sesekali terlepas pandang kerana ia boleh mengundang kemalangan. Selain daripada itu, bagi yang beragama Islam perlu sentiasa berdoa agar sentiasa dalam lindunganNya.

“Dalam masa sama, perlu sentiasa peka dengan binatang buas kerana kita berada di dalam kawasan laluan mereka. Pernah satu ketika ular sawa melintas di hadapan saya, mujurlah sempat mengelak,” ceritanya kepada Wilayahku.

Pernah mewakili negara dalam Kejohanan Asia Continental di Thailand pada tahun 2020, atlet ini menyifatkan ia merupakan pengalaman paling manis baginya.

“Itu merupakan kejohanan pertama, saya diletakkan di bawah kategori 23 tahun. Biarpun hanya berjaya menduduki tempat ketujuh namun sudah memadai bagi saya kerana ketika itu saya belajar banyak perkara.

“Trek di sana lebih mencabar dari Malaysia selain faktor cuaca yang kering dan berbahang. Disebabkan perubahan udara yang ketara juga, saya terdedah kepada sakit di saluran pernafasan,” ujarnya.

Sepanjang tempoh dua minggu berada di Thailand sebelum pertandingan bermula, dia mengakui dapat mempelajari pelbagai aksi dan kemahiran baru di sana.

“Dua kali saya cedera di bahagian siku kerana terjatuh ketika sesi latihan. Mujurlah tidak terlalu serius namun segala yang berlaku sepanjang tempoh itu cukup bermakna bagi saya,” ujarnya yang baru pulih daripada kecederaan di bahagian peha dan bahu ketika sesi latihan baru-baru ini.

Berhasrat untuk beraksi di Sukan SEA Vietnam tahun hadapan, pelajar Diploma Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Selangor ini sentiasa fokus kepada impiannya itu.

Insya-Allah saya akan pastikan apa yang dihajati tercapai. Saya meletakkan sasaran untuk muncul Top 3 dan disebabkan itu juga, saya kini giat menjalani latihan hampir setiap hari,” ujar Nur Deena. -WILAYAHKU

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )