Berita

SEMANGAT JUANG ATLET LUAR BIASA DALAM 4 FILEM

Gambar: Aiman Abdullah
- Diterbit 12 September 2021 2:00 AM MYT

SUKAN Paralimpik Tokyo baru sahaja melabuhkan tirainya. Prestasi atlet juga sangat mengagumkan apabila berjaya membawa pulang tiga pingat emas dan dua pingat perak.

Emas pertama yang disumbangkan oleh Bonnie, atlet powerlifting membuka mata rakyat Malaysia bahawa mereka juga tidak kurang hebatnya meskipun kelainan upaya.

Kali ini Wilayahku senaraikan antara filem yang diinspirasi dari kisah benar atlet paralimpik buat tontonan anda. Semoga filem ini akan membuatkan anda untuk kekal menyokong atlet para kita di pertandingan yang lain.

#1 Garang

Pengarah: T. Kanageswaran
Pelakon: Pablo Amirul, Izam Abdul Hamid, Jalil Hamid

BERKISARKAN bekas atlet paralimpik, Izam dalam acara sukan lumba kerusi roda sehingga peringkat ke antarabangsa. Izam pernah mewakili Malaysia sehingga ke Jepun dan Korea sekitar tahun 1998-2005.

Garang mengisahkan Izam, atlet paralimpik dalam acara lumba kerusi roda. Satu insiden yang berlaku pada Izam telah menimbulkan sengketa antara Jasmin dan Reza yang juga merupakan insan luar biasa yang handal berkerusi roda.

Persengketaan ini telah memaksa Jasmin meminta pertolongan dari tiga sahabat lamanya. Siapakah mereka? Mampukan tiga sahabat ini merungkai segala konflik yang sedang berlaku?

#2 Eye On The Ball

Pengarah: Yih Wen Chen
Pelakon: Sunny Shalesh, Asri Arshad, Azwan Azhar

FILEM dokumentari sukan ini menyingkap kisah sebenar pasukan bola sepak buta kebangsaan Malaysia dan perjalanan mereka dalam Sukan Para ASEAN 2017.

Menampilkan pemain Asri Arshad, Azwan ‘Kenchot’ Azhar serta Rollen Marakim membuat keputusan meninggalkan keluarga dan merantau ke ibu negara bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan yang dibimbing jurulatih berpengalaman Sunny Shalesh.

Namun pasukan kebangsaan itu sendiri dihimpit dengan pelbagai cabaran. Skuad yang diberi gelaran Harimau Buta tersebut perlu mempertahankan kejuaraan mereka di Sukan Para ASEAN 2017, Kuala Lumpur dan melayakkan diri ke Kejuaraan Bola Sepak Orang Buta Dunia.

Ini adalah satu tugas besar, namun mampukah mereka mencapai matlamat dan harus bertanding menentang jaguh dunia di pentas antarabangsa.

#3 On Your Mark

Pengarah: Chiu Keng Guan
Pelakon: Wang Yanhui, Zhang Youhao, Gong Beibi

DIINSPIRASIKAN daripada kisah benar atlet yang berjaya menempa nama dalam arena sukan seperti Thomas Panek dan David Brown, kedua-duanya adalah atlet pelari cacat penglihatan.

On Your Mark mengisahkan tentang seorang anak muda, Xiao Erdong bercita-cita untuk menjadi pelari maraton seperti ibunya.

Namun, cita-citanya dihalang oleh bapanya Xiao Daming kerana tidak mahu melihat anaknya kecewa mengenangkan Xio Erdong berkemungkinan mewarisi sindrom buta seperti ibunya yang telah meninggal dunia.

Namun, Xiao Erdong curi-curi melihat dan berlatih di luar padang tanpa pengetahuan bapanya. Bagaimanapun, ketika cuba melayakkan diri dalam pertandingan, Xio Erdong telah terjatuh dan mimpi ngeri bapanya menjadi keyataan apabila Xio Erdong disahkan buta.

Karya hebat ini mempunyai elemen penghayatan yang cukup mendalam tentang semangat juang dan pengorbanan seorang ayah.

#4 Luar Biasa

Pengarah: Tunku Mona Riza
Pelakon: Rykarl Iskandar, Idan Aedan

MEMBAWA kisah benar mengenai pemenang pingat emas Paralimpik, Mohamad Ridzuan Puzi atau lebih dikenali dengan panggilan Dek Wan yang menghidapi penyakit ‘Cerebral Palsy’ dan abangnya, Saiful @ Abang Pun yang sentiasa ada di sisinya.

Selepas beberapa minggu kelahiran, Dek Wan mengalami penyakit demam kuning dan demam panas. Hal ini menyebabkan perubahan drastik terhadap diri beliau.

Doktor mengesahkan beliau menghidap penyakit ‘Cerebral Palsy’ dan segalanya kini berubah. Dek Wan kehilangan keupayaan untuk bercakap, berjalan dan mengimbang, serta keadaan fizikal yang berbeza berbanding kanak-kanak yang lain.

Saiful @ Abang Pun yang hanya satu tahun perbezaan umur dengan Dek Wan adalah satu-satunya abang dan sahabat Dek Wan. Mereka sentiasa bersama dan seperti yang selalu dikatakan Abang Pun, tidak kira apa yang terjadi, sebagai adik-beradik, mereka akan sentiasa bangkit bersama.

Luar Biasa menggambarkan kehidupan Dek Wan bersama abangnya, Saiful yang ketika itu masih berusia belasan tahun.

-WILAYAHKU- DIANA AMIR 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas