Ibadah korban dibenarkan di Wilayah Persekutuan dengan pelbagai syarat – JAWI
HAD kapasiti sembelihan korban yang dibenarkan ialah tidak melebihi lima ekor sehari manakala bilangan kehadiran termasuk petugas tidak melebihi 12 orang. Kredit foto oleh: Harakahdaily

Ibadah korban dibenarkan di Wilayah Persekutuan dengan pelbagai syarat – JAWI

MASJID dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan dibenarkan melaksanakan ibadah korban sempena hari raya Aidiladha tahun ini, namun proses penyembelihan binatang korban, lapah, potong dan pembungkusan daging korban hanya dibenarkan di rumah sembelihan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata rumah sembelihan berkenaan ialah Rumah Sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan DVS mengikut penyelarasan JAWI.

“Pengagihan dibuat secara terus kepada peserta, fakir miskin berdasarkan senarai nama yang ditetapkan, petugas barisan hadapan dan golongan sasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Ajib berkata pelaksanaan ibadah korban di kawasan lapang selain masjid dan surau juga dibenarkan dengan kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), JAWI dan Pejabat Kesihatan Daerah.

Menurutnya had kapasiti sembelihan korban yang dibenarkan ialah tidak melebihi lima ekor sehari manakala bilangan kehadiran termasuk petugas tidak melebihi 12 orang.

“Semua kebenaran adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan demi memastikan ibadah korban dapat dihayati dan kemaslahatan semua pihak sentiasa terpelihara,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES