Berita

GP Jerman: Keadaan litar jejas prestasi Hafizh Syahrin

PELUMBA kelahiran Selangor berusia 27 tahun itu bagaimanapun memohon maaf kepada seluruh pasukannya selepas tidak berupaya menyumbang sebarang mata pada aksi di Jerman. Kredit foto oleh: Road Star PELUMBA kelahiran Selangor berusia 27 tahun itu bagaimanapun memohon maaf kepada seluruh pasukannya selepas tidak berupaya menyumbang sebarang mata pada aksi di Jerman. Kredit foto oleh: Road Star
- Diterbit 21 Jun 2021 8:14 AM MYT

PELUMBA Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah mengakui keadaan Litar Sachsenring, Jerman yang memiliki banyak sudut condong telah menjejaskan prestasinya dalam perlumbaan Grand Prix (GP) semalam.

Pelumba NTS RW Racing GP itu hanya menamatkan perlumbaan di tangga ke-17.

“Litar Sachsenring merupakan trek yang pendek namun terdapat banyak sudut condong yang perlu saya tempuhi sehingga membataskan kemampuan mengawal jentera.

“Walaupun Litar Mugello lebih panjang iaitu 5.2 kilometer (km), namun bentuk litarnya lebih kurang sama dengan Litar Sachsenring, cuma bezanya di sini terdapat banyak sudut condong,” katanya dalam satu klip video yang dikongsikan kepada media hari ini.

Dalam klip video berkenaan Hafizh Syahrin yang nyata kecewa dengan persembahannya, turut menyatakan kekesalan kerana tidak dapat memanfaatkan potensi sebenar di litar sepanjang 3.7 km itu.

Pelumba kelahiran Selangor berusia 27 tahun itu bagaimanapun memohon maaf kepada seluruh pasukannya selepas tidak berupaya menyumbang sebarang mata pada aksi di Jerman.

“Saya berazam akan bangkit daripada kekecewaan ini dengan menampilkan aksi terbaik dalam saingan seterusnya di GP Belanda pada 25 hingga 27 Jun ini,” katanya.

Pada perlumbaan itu, pelumba Australia, Remy Gardner daripada pasukan Red Bull KTM Ajo mengungguli saingan diikuti Aren Canet dari Sepanyol (Aspar Team Moto2) yang meraih tempat kedua manakala pelumba Itali, Marco Bezzecchi (SKY Racing Team VR46) memperoleh tempat ketiga.

Selepas lapan perlumbaan, Hafizh Syahrin kini menduduki tangga ke-24 dengan lapan mata dalam ranking keseluruhan musim 2021. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas