Berita

Hockademy sertai dua aksi antarabangsa

- Diterbit 14 September 2022 12:03 PM MYT

KELAB hoki Hockademy akan menyertai dua kejohanan terbuka antarabangsa dalam masa terdekat sebagai aksi pemanas badan sebelum saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) tahun depan.

Pemilik Hockademy Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin berkata dua kejohanan itu adalah Festival Hoki Bali, Indonesia bermula 17 dan 18 Sept, diikuti Festival Hoki Vietnam ke-13 di Ho Chi Minh City.

“Kita ingin memberi peluang pemain beraksi di Asia Tenggara, tambahan tiada kejohanan dalam negara. Ia pengalaman terbaik untuk pemain di samping kita mahu membina sebuah pasukan yang kuat dengan gabungan pemain muda dan berpengalaman.

“Apabila ada banyak perlawanan, ia tentunya akan meningkatkan kecergasan dan kemahiran pemain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penyertaan Hockademy pada dua kejohanan tersebut juga sebagai platform untuk memperkukuhkan jenama kelab selain mempunyai nilai komersial serta bersifat antarabangsa.

Pada masa sama, Megat D Shahriman tidak menolak kemungkinan Hockademy akan membawa masuk pemain luar sebagai persediaan jangka panjang menjadi sebuah pasukan yang kuat dan digeruni di rantau ini.

Untuk aksi di Bali, Hockademy akan membariskan pemain seperti Mohd Fahmi Nasir, Muhammad Azwar Abdul Rahman, Muhammad Azrul Hasbullah, Muhammad Hafiizhuddin Zaidi, Muhammad Syafiq Mohd Sayuti, Arif Sabron dan Metdriyanto Zakaria. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas