Berita

Kilang proses ayam menjijikkan diserbu DBKL

- Diterbit 14 September 2022 4:07 AM MYT

MENJIJIKAN.. Beginilah keadaan dalam sebuah kilang penyembelihan ayam di Cheras yang diserbu selepas dikesan beroperasi dalam persekitaran kotor selain menggunakan khidmat berpuluh pekerja warga asing tanpa diberikan suntikan tifoid.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, tindakan pemilik kilang ayam itu berjaya dibongkar melalui operasi bersepadu dilakukan pihaknya bersama agensi Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL), Indah Water Konsortium (IWK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Katanya, serbuan yang dilakukan pada pukul 1 pagi semalam mendapati pusat penyembelihan ayam tersebut telah mengabaikan aspek kebersihan.

“Pemeriksaan yang dilakukan oleh 21 anggota penguatkuasa turut mendapati pusat penyembelihan ayam itu dalam keadaan tidak terurus dan kotor.

“Lantai dan dinding di ruang memproses ayam berkarat, berlumut dan berdaki hitam. Ia mungkin berpunca aktiviti sembelihan ayam yang dilakukan di dalam premis,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya semalam.

Jelas kenyataan itu, semua pekerja atau pengendali makanan di premis itu gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri masing-masing kerana hampir semua pekerja adalah warga asing serta tidak mendapatkan suntikan tifoid.

“Pusat penyembelihan ayam itu turut dikesan menjadi punca pencemaran apabila pemeriksaan lanjut mendapati tiada sistem penapisan sisa disediakan.

“Sisa penyembelihan dan darah ayam terus disalurkan ke longkang awam. Malah ayam mentah yang siap diproses diletakkan di atas lantai begitu sahaja,” katanya.

“Susulan itu tindakan diambil pihak DBKL dengan mengeluarkan dua kompaun selain Notis Perintah Penutupan di bawah Akta Makanan 1983 membabitkan arahan pembersihan dan penambahbaikan.

“Selain itu pihak JASWPKL turut mengambil sampel air untuk dianalisa,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas