Berita

Hanya RM15, pesalah trafik DBKL boleh buat bayaran mulai esok

- Diterbit 31 Januari 2020 1:32 AM MYT

KUALA LUMPUR – Warga kota di sini berpeluang menikmati kadar khas kompaun trafik iaitu RM15 bermula esok hingga 3 Mac sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2020.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan, tawaran tersebut dipersetujui Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

“Tawaran kadar kompaun khas kepada warga kota ini adalah untuk membolehkan mereka membuat penyelesaian terhadap notis kompaun yang masih tidak dijelaskan.

“Ia sekali gus mengelakkan tindakan senarai hitam (blacklist) diambil terhadap mereka. DBKL telah menetapkan kadar RM15 untuk semua jenis kenderaan,” katanya.

Menurut DBKL, tawaran khas tersebut adalah tertakluk kepada kesalahan lalu lintas sahaja dan tidak termasuk kes yang dibawa ke mahkamah (status U, M) dan kes senarai hitam (status W).

Katanya, orang awam boleh membuat semakan dan bayaran di semua kaunter bayaran DBKL, kaunter pos Malaysia seluruh negara, secara atas talian menerusi aplikasi Mobis atau melalui portal MyEG di www.myeg.com.my.

DBKL turut menegaskan, sebanyak 107,547 kes bagi notis-notis kompaun yang masih tidak dijelaskan pesalah lalu lintas akan dibawa untuk pendakwaan di mahkamah.

Malah katanya, sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 4,914 kes disenarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas