Berita

Guna kesempatan hujung minggu langgar PKP

MOHD. IBRAHIM membuat pemeriksaan dalam satu sekatan jalan raya di Labuan hari ini.
- Diterbit 6 April 2020 8:04 AM MYT

PUTRAJAYA – Lebih ramai individu didapati melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada hujung minggu.

Perkara itu dinyatakan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui stastitik Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam (Ahad) yang menyaksikan seramai 554 individu ditahan berbanding 368 individu pada hari sebelumnya.

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan peningkatan penahanan pelanggaran PKP sebanyak 51 peratus.

“Saya dimaklumkan oleh PDRM bahawa peningkatan itu berlaku kerana mungkin ramai mengambil kesempatan untuk keluar pada hari minggu dan melakukan kesalahan di bawah PKP.

“Justeru, kita amat berharap supaya rakyat cuti setiap hari dan bukannya pada hari minggu sahaja,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Beliau menjelaskan, daripada 554 yang ditahan itu, seramai 489 individu direman, (65) dijamin dan 213 telah didakwa di mahkamah semalam.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, seramai 6,048 individu telah ditangkap sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu. – WILAYAH

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas