Berita

Kaji sedia bilik kubikel beri keselesaan kepada gelandangan

TAN SRI ANNUAR MUSA
- Diterbit 6 April 2020 8:22 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang mengkaji untuk membina bilik-bilik kecil atau kubikel di pusat penempatan sementara gelandangan yang diselamatkan bagi memberikan lebih keselesaan kepada golongan tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, perkara itu dilihat penting kerana mereka memerlukan ruang peribadi terutamanya bagi gelandangan wanita.

“Kita melihat keadaan di situ seperti ‘hostel’ atau asrama dan ia terbuka serta tiada privasi kepada mereka.

“Kita cuba dapatkan supaya kalau boleh diadakan bilik-bilik kecil dalam dewan itu seperti yang pernah dilaksanakan di kawasan banjir di Manek Urai dan ia sedang diusahakan dengan keutamaannya diberikan kepada wanita yang mempunyai anak kecil,” katanya dalam sesi live di Facebooknya hari ini.

Siaran live tersebut juga dilakukan melalui Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan dan Wilayahku.

Annuar berkata, beliau turut meminta agar pihak berkenaan mengambil maklumat dan data peribadi gelandangan tersebut  supaya dapat menjejaki keluarga mereka.

“Data-data tersebut diperlukan untuk menyemak dan membantu mereka bagi mendapatkan bantuan sara hidup atau bantuan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Mereka berkeliaran dan tiada rumah. Elok kita bantu termasuk ada salah seorang gelandangan mengadu kehilangan kad pengenalan dan tiada mempunyai wang memperbaharuinya,” katanya.

Tambah beliau, gelandangan yang dihimpunkan di satu tempat itu memudahkan pihak kerajaan menjalankan saringan kesihatan ke atas mereka.

Annuar berkata, pihaknya turut akan membekalkan peralatan tambahan seperti selimut dan pakaian kepada gelandangan berkenaan untuk keselesaan mereka dan beliau tidak mahu melihat masalah dihadapi golongan itu berpanjangan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas