Berita

Giat Mara Labuan mahu TVET sektor Minyak dan Gas diperluaskan

- Diterbit 9 Mac 2024 7:59 PM MYT

GIAT Mara Labuan merancang memperluaskan dan menambah bidang kemahiran dalam pengkhususan pendidikan sektor minyak dan gas bagi memberikan manfaat kepada anak Labuan.

Penasihat Giat MARA Labuan Datuk Mohd Raffi Alli Hassan berkata, perancangan itu adalah bertujuan meningkatkan pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk di pulau itu.

“Ketika ini, kita melihat peluang pekerjaan dalam bidang ini lebih diisi oleh orang luar dari Sabah dan Sarawak. Ini memperlihatkan bahawa penglibatan anak-anak Labuan dalam bidang ini amat kurang. Perkara ini amat serius bagi saya.

“ Saya akan memperbanyakkan kursus dalam industri minyak dan gas dan saya mahu anak-anak Labuan diberi keutamaan agar mereka boleh berkhidmat di tanah tumpah mereka sendiri khususnya di Labuan dalam industri minyak dan gas”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan bantuan awal persekolahan kepada 600 pelajar menerusi Program Back To School anjuran Yayasan Bank Rakyat dan Yayasan Pelajaran MARA, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Tambah Raffi, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama syarikat limbungan terbesar di Labuan untuk mengadakan kerjasama melibatkan tenaga kerja mahir dalam industri minyak dan gas. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas