Berita

26,154 unit Residensi Wilayah siap dibina sehingga Februari 2024

- Diterbit 9 Mac 2024 7:57 PM MYT

SEBANYAK 26,154 unit melibatkan 43 projek Residensi Wilayah telah siap dibina sejak pelaksanaannya sehingga Februari 2024.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, Projek Residensi Wilayah merupakan salah satu inisiatif di bawah payung kluster Program Usaha Jaya Insan (PUJI), iaitu Ihsan @ PUJI.

“Menerusi program ini, kerajaan dengan kerjasama syarikat pemaju perumahan melalui kaedah subsidi silang atau cross subsidy sama-sama berusaha menyediakan kediaman dengan harga tidak melebihi RM 300,000 seunit dengan keluasan minimum 800 kaki persegi.

“Sehingga Februari 2024, sebanyak 26,154 unit melibatkan 43 projek telah siap sepenuhnya manakala 23,441 unit masih dalam pembinaan melibatkan 27 projek di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan akan siap pada tahun ini hingga 2027,” katanya dalam Majlis Penyerahan Kunci Kediaman Mampu Milik Residensi SkyAwani 5.

Kerajaan melalui Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah memperkenalkan satu inisiatif dalam menyediakan rumah mampu milik di seluruh Wilayah Persekutuan yang dikenali sebagai Residensi Wilayah untuk merealisasikan impian warga Wilayah Persekutuan untuk memiliki kediaman sendiri terutama golongan berpendapatan sederhana rendah, M40.

“Keseluruhan 615 unit kediaman SkyAwani 5 merupakan Residensi Wilayah yang dibina di atas tanah berkeluadan 2.06 ekar.

“Pemilik dapat menikmati 26 kemudahan seperti gimnasium, tree house, sky lounge dan banyak lagi,” ujar beliau SkyAwani 5 juga melakar sejarah bagi perumahan mampu milik pertama yang menyediakan stesen pengecas EV untuk kemudahan penghuninya.

Tambah Zaliha, penetapan dasar Residensi Wilayah mewajibkan setiap pembangunannya mesti melalui penilaian standard piawaian industri yang tegas QLASSIC (kualiti pembinaan projek) 5 bintang oleh Lembaga Pembangunan Perindustrian atau CIDB.

“Pihak CIDB telah mengesahkan bahawa skor QLASSIC Residensi Wilayah SkyAwani 5 adalah yang tertinggi iaitu 84 peratus untuk kategori rumah mampu milik.

“Dalam masa sama, Sky World Development Berhad juga telah dianugerahkan pengiktirafan SHASSIC (Keselamatan dan Kesihatan Projek),” jelasnya.

Terdahulu, Zaliha turut menyerahkan kunci kepada 20 orang pembeli Residensi Wilayah SkyAwani 5.⁠ – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas