Artikel

Gelandangan bangunlah! Usah terus derita

GELANDANGAN perlu belajar berdikari kerana tidak selama-lamanya akan tinggal di pusat transit.
- Diterbit 21 Mac 2022 4:49 AM MYT

RAJIN dan usaha tangga kejayaan. Jika tidak dipecah ruyung di mana kan dapat sagunya. Inilah kata-kata hikmat yang sentiasa menjadi pegangan dan dorongan kepada mereka yang ingin berjaya memperbaiki kehidupan, daripada derita kepada bahagia.

Kisah seorang gelandangan wanita yang gigih berusaha untuk bangkit daripada keperitan dan kesengsaraan hidup sangat menyentuh hati Adi. Dia membuktikan rajin dan berani serta tabah menempuh cabaran, juga mempunyai komitmen tinggi, mampu mengubah hidup membuang segala derita.

Memetik laporan Berita Harian baru-baru ini, wanita tersebut, Sharifah Nurul Syahida Syed Abdul Rahman, 37, yang pernah melalui kehidupan sengsara di Lorong Chow Kit, Kuala Lumpur, tekad bangkit keluar dari kegelapan hidup.

Dia tidak rela terus derita, tetapi membuka mata untuk tidak berpaling ke belakang. Dia terus positif memandang ke hadapan untuk memperbaiki diri demi manjalani kehidupan lebih selesa dan sempurna.

Adi bangga mengikuti kisah bagaimana Nurul Syahida berjaya mengubah diri daripada pencuci pinggan di kedai makan, kepada pengusaha ikan pekasam berjaya. Pasarannya bukan sahaja di dalam negeri tetapi menjangkau ke Singapura dan Australia. Dalam usaha ini, dia mendapat sokongan dan bantuan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Nurul Syahida berhijrah dari kampungnya di Taiping ke Kuala Lumpur dengan harapan memperbaiki diri di ibu kota. Dia mahu meraih pendapatan lebih baik untuk membantu keluarga di Kamunting.

Namun kebahagiaan yang diharap tidak menjelma. Kehidupan yang dilalui begitu sukar hingga pernah merempat di tepi longkang serta mengharap simpati orang ramai untuk makan dan minum.

Akhirnya dia memutuskan kembali ke kampung. Menggunakan modal hasil kerjanya di ibu negara, dia berniaga di tepi jalan menjual makanan dan minuman. Di samping itu dia berulang ke Kuala Lumpur menaiki bas mendapatkan bekalan barang seperti beg, alat solek dan pelbagai lagi untuk dijual di Taiping. Inilah usahanya mengembangkan perniagaan.

Corak hidupnya berubah ke arah lebih baik apabila dipertemukan dengan seorang Sahabat AIM dan menyertai program AIM. Memang AIM sedia membantu golongan miskin mengusahakan kegiatan ekonomi dengan penyeliaan rapi.

Dengan bantuan modal permulaan daripada AIM, dia mengusahakan perniagaan pekasam selain meneruskan perniagaan yang sudah ada. Untuk mendalami ilmu membuat ikan pekasam, Nurul Syahida sanggup belajar hingga ke Lenggong dan Grik.

Jualan pekasamnya pernah mencecah dua tan sebulan sewaktu Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) dahulu. Dia juga memiliki kilang dan mampu menggaji lapan pekerja serta mempunyai stokis. Untuk meningkatkan pasaran, dia mempelbagai hasil pekasamnya. Antaranya pekasam telur, daging dan perut lembu.

Penat lelah berusaha memberikan pulangan yang lumayan untuk Nurul Syahidah sehingga perniagaannya semakin berkembang. Dia juga mengusahakan perniagaan katering dan restoran.

Kisah Nurul Syahida ini Adi petik dan kongsikan di ruangan ini dengan harapan akan menjadi pembakar semangat kepada gelandangan untuk berusaha memperbaiki diri hingga jaya. Dia bukan sahaja bangkit daripada penderitaan tetapi berjaya dalam perniagaan dan memberi pekerjaan kepada orang lain.

Anggaplah ini satu cabaran kepada gelandangan untuk menyedarkan diri bahawa kejayaan dan kebahagiaan boleh diraih berkat usaha dan ikhtiar, tidak hanya menyerahkan diri kepada takdir dan mengharap belas kasihan orang sepanjang masa.

Gelandangan di Kuala Lumpur khususnya adalah kelompok yang sangat bertuah kerana nasib mereka sentiasa dibela oleh pihak berkuasa yang sentiasa prihatin dengan kesusahan dihadapi.

Mereka yang berkeliaran di seluruh pelusuk ibu kota tanpa tujuan, tanpa wang dan makanan, disediakan pusat transit khas, misalnya di Bulatan Pahang, untuk berlindung daripada panas dan hujan. Perlindungan diberi, makan minum juga disediakan.

Namun sesuai namanya, pusat transit bukan pusat kekal. Gelandangan perlu belajar berdikari kerana tidak selama-lamanya akan tinggal di pusat transit. Pusat ini hanya sementara sehingga mereka mampu hidup sendiri. Selepas itu kelompok baharu pula datang.

Selain di Bulatan Pahang, juga terdapat lagi pusat transit dikenali sebagai Anjung Kelana yang mana merupakan program berkembar, memberi perlindungan dan pekerjaan. Gelandangan terpilih akan melalui saringan bagi menilai tahap keupayaan mental, fizikal dan produktif untuk diberi pekerjaan sesuai.

Jelas pihak berkuasa tidak membiarkan gelandangan terkial-kial bersendirian untuk memperbaiki diri. Kerana itu mereka disediakan dengan latihan asas berniaga untuk menjadikan bidang tersebut sumber rezeki. Tidak mengapa jika pada peringkat awal hanya berniaga kecil-kecilan. Setelah benar-benar mahir dengan selok berniaga bolehlah membesarkan perniagaan.

Jika pun tidak meneruskan perniagaan di Kuala Lumpur, latihan yang diterima boleh dimanfaatkan untuk berniaga di mana jua, termasuk di kampung halaman sendiri. Tentu sahaja gelandangan ini ada kaum keluarga masing-masing. Bawalah bekalan ilmu itu balik utuk dipraktikkan dan buktikan kepada keluarga diri sudah berubah.

Selain berniaga, gelandangan juga diajar bertani melalui pertanian bandar. Terasnya ialah ‘pertanian ialah perniagaan’. Melalui tanaman seperti jagung dan sayur-sayuran, hasil pertanian dipasarkan untuk beroleh pendapatan, di samping memberi pekerjaan.

Contohnya gelandangan yang mengusahakan Projek Pertanian Bandar di Kampung Seri Malaysia, Bandar Tun Razak, juga di Anjung Kelana.

Yang terlibat dengan gejala dadah tidak diabaikan begitu sahaja. Mereka dihantar ke pusat pemulihan. Setelah berjaya membuang tabiat buruk itu mereka diberi latihan berniaga dan bertani untuk memulakan kehidupan baharu dengan harapan mereka tidak akan kembali ke kancah hina.

Matlamat akhirnya ialah agar gelandangan bukan sahaja mampu berdikari tetapi terus cemerlang dalam hidup sehigga boleh membuka pintu rezeki kepada orang lain. Kerana itu mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberi mereka gelaran ‘Pahlawan Hijrah’ atau Hijrah Warrior, berhijrah daripada kehidupan suram kepada kehidupan bercahaya dan ceria.

Dengan segala kemudahan dan latihan yang diberi oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), gelandangan di ibu kota jauh lebih bernasib baik daripada Nurul Syahida yang terkontang-kanting untuk berjaya.

Justeru jika dia mampu menjulang kejayaan, gelandangan Kuala Lumpur yang nasibnya dibela seharusnya mencapai kejayaan lebih cemerlang dengan lebih cepat. Yang penting ialah tekad diri dan tidak mudah patah semangat.

Jangan mudah putus asa jika berhadapan cabaran dan ujian. Malah lebih teruk lagi jika kembali ke kancah gelandangan sehingga mensia-siakan segala usaha dan bantuan diberi untuk transformasi diri. Keyakinan dan kesungguhan adalah kunci utama yang mesti sentiasa ditanam di dalam diri. Ingat, tiada jalan pintas untuk kejayaan.

Adi – Usaha sampai jaya – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas