Agama

Pedoman Syaaban: Kematangan Rasulullah SAW menghadapi fitnah

SYAABAN adalah salah satu dari bulan haram yang perlu dihargai dan diperbesarkan menerusi ibadat puasa sunat dan ibadat lainnya.
- Diterbit 21 Mac 2022 6:53 AM MYT

KEDATANGAN bulan Syaaban sebagai bulan persediaan sebelum datangnya Ramadan adalah perkara yang dinantikan oleh orang yang beriman.

Memperbanyakkan ibadah di bulan yang mulia ini selari dengan doa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad: Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban serta sampaikanlah kami hingga ke bulan Ramadan.

Syaaban adalah salah satu dari bulan haram yang perlu dihargai dan diperbesarkan menerusi ibadat puasa sunat dan ibadat lainnya.

Nabi juga bersabda di dalam hadis riwayat al-Nasaie: Itulah dia bulan (Syaaban) yang seringkali manusia lalai di antara Rejab dan Ramadan.

Al-Syaukani mengulas hadis ini bahawa manusia itu lalai dari membesarkan bulan ini dengan berpuasa, sebagaimana ketika di bulan Rejab dan Ramadan.

Bulan yang mulia ini juga telah menyaksikan berlakunya peristiwa-peristiwa penting di dalam sejarah Islam.

Antaranya ialah kisah fitnah yang telah melanda keluarga Rasulullah SAW yang dinamakan dengan Kisah al-Ifk.

Menerusi kisah ini, Allah SWT telah memuliakan Nabi dan keluarganya terutamanya Sayyidah ‘Aishah RA dengan apa yang telah tercatat di dalam Surah al-Nur.

Kisah ini juga menunjukkan betapa kejinya perancangan golongan munafik di dalam menyebarkan fitnah terhadap keluarga Nabi Muhammad SAW, sehingga Allah SWT menurunkan ayat 19 Surah an-Nur sebagai satu kejian dan penghinaan kepada mereka: Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

Imam al-Bughawi (wafat 516) menyatakan azab yang Allah nyatakan tersebut ditujukan kepada Abdullah bin Ubay dan kelompok munafik yang bersama-sama menyebarkan fitnah sedangkan Allah SWT amat mengetahui bahawa ‘Aisyah tidak terlibat di dalam urusan yang diadu-dombakan tersebut.

Ringkasnya, khabar al-Ifk ialah peristiwa yang menyaksikan ‘Aisyah telah difitnah berdua-duaan bersama seorang Sahabat Nabi bernama Sofwan bin Mu’attol ketika perjalanan pulang dari perang menentang Bani Mustaliq pada bulan Syaaban tahun kelima hijrah (terdapat juga pandangan yang mengatakan pada tahun keenam hijrah).

Reaksi para sahabat Nabi ketika itu berbeza-beza di dalam menerima berita ini; ada yang menafikannya, ada yang mempercayainya, bahkan ada yang mempercayai lebih dari apa yang digembar-gemburkan itu.

Syeikh al-Marhum Dr Mohd Said Ramadan al-Buti mengulas di dalam buku Fiqh Sirahnya yang telah diterjemah kepada beberapa bahasa, bahawa peristiwa ini telah membuktikan dua hakikat utama kenabian kepada kita.

Pertamanya, meskipun dimuliakan dengan kenabian dan wahyu, ia tidak mengeluarkan seseorang nabi itu dari sifat kemanusiannya, apatah lagi menisbahkan baginda dengan sifat-sifat yang layak dan tertentu bagi Allah SWT semata-mata.

Keduanya, wahyu yang diterima oleh Nabi Muhammad SAW bukanlah perkara yang direka-reka atau perasaan yang boleh diwujudkan sewenang-wenangnya. Jika tidak, sudah pasti baginda boleh menerima wahyu lebih awal sebelum berlakunya kisah ini, dan menyelesaikan segala masalah yang berbangkit darinya.

Syeikh al-Marhum Dr Muhammad Abdullah Darraz menerusi kitabnya al-Naba al- ‘Azhim turut menukilkan bahawa permasalahan ini bukan sahaja kerana meluasnya tiupan fitnah kaum munafik ini sehingga didengari oleh kesemua penduduk Madinah, malah diburukkan lagi dengan kelewatan penurunan wahyu bagi menerangkan duduk perkara sebenar.

Namun ini tidak menghalang Nabi untuk terus positif dan bersangka baik, dengan menasihati dan memberikan kekuatan kepada Sayyidah ‘Aisyah RA, “Wahai ‘Aisyah, aku telah mendengar berita mengenaimu, jika kamu tidak melakukannya Allah pasti akan menyucikan kembali nama dan maruahmu, sebaliknya jika engkau terlibat di dalam kesalahan tersebut, mintalah ampun dari Allah SWT.”

Ternyata setelah sebulan peristiwa ini berlaku, Allah SWT menurunkan ayat 11-20 Surah an-Nur yang membebaskannya dari tuduhan ini, sekali gus memberi peringatan dan pengajaran iman yang begitu berkesan kepada umat Islam seluruhnya.

Allah SWT berfirman di dalam ayat ke-11 Surah an-Nur: Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu.

Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).

Tidak kesemua perkara yang buruk akan menatijahkan hasil yang negatif. Peristiwa ini telah mengukuhkan lagi iman para sahabat Nabi kepada Allah dan Islam yang disampaikan kepada mereka.

Jika benarlah al-Quran itu merupakan ciptaan dan dari kecerdikan Nabi sendiri, sudah tentu baginda akan berusaha untuk mendatangkan ayat baru bagi memulihkan keadaan tersebut.

Apa yang berlaku ialah Nabi sendiri menunggu kedatangan wahyu Allah SWT untuk menerang dan menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

Untuk manusia yang hidup selepas zaman Nabi sehinggalah ke hari ini, sekiranya terlintas di hati kita al-Quran itu bukanlah kalam Allah, sebaliknya ia merupakan kalam dan olahan Nabi sendiri, sudah pastinya kisah seperti ini tidak akan dijadikan silibus kandungan di dalam kitab suci ini.

Kisah ini secara tidak langsung telah memperihalkan konflik yang pernah melanda rumah tangga Nabi Muhammad SAW.

Hakikatnya, kitab ini adalah kalam Allah SWT yang bukan dicipta oleh mana-mana manusia, khususnya Nabi SAW sendiri.

Al-Quran adalah dokumentasi wahyu yang diterima oleh baginda dariNya dan disampaikan dengan penuh amanah dan mutawatir, dari satu generasi ke generasi seterusnya, sehinggalah ke hari ini.

Kewujudannya itu sendiri tidak mampu dicabar mana-mana manusia untuk menyainginya, dan inilah bukti ampuh menunjukkan kitab ini merupakan wahyu dan syariat yang kekal hingga ke akhir zaman. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas