Berita

Gandakan inisiatif pemerkasaan wanita, elak tercicir hadapi cabaran ekonomi dan sosial

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 9 Mac 2024 12:05 AM MYT

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mahu inisiatif pemerkasaan wanita terus digandakan, supaya mereka tidak tercicir dalam menghadapi cabaran ekonomi dan sosial.

Beliau berkata ramai daripada wanita berhadapan dilema, sama ada untuk meneruskan kerjaya atau berkorban dengan meninggalkan bidang pekerjaan, demi memikul tanggungjawab untuk berbakti kepada keluarga.

“Walaupun wanita mendominasi lelaki di universiti, tetapi hanya 56.2 peratus daripada populasi wanita bekerja, berbanding 81.9 peratus lelaki.

“Wanita dalam lingkungan umur 30 hingga 39 tahun lebih cenderung meninggalkan kerjaya mereka secara tetap kerana komitmen keluarga,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024, di sini malam ini.

Turut hadir pada majlis sambutan itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta jemaah menteri.

Nancy berkata wanita berumur 60 tahun, merupakan majoriti penerima bantuan kewangan oleh kerajaan kerana  tidak mempunyai jaringan keselamatan ekonomi.

Selain itu, beliau berkata Bank Dunia pada minggu ini melaporkan bahawa, sekiranya semua halangan ekonomi bagi wanita dimansuhkan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dapat meningkat sebanyak 20 peratus. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas